My Add

Sunday 16 September 2012

Kerajaan Pusat fahami aspirasi, sensitiviti Sarawak

SIBU, SABTU, 15 September, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, Kerajaan Pusat memahami dan menghargai aspirasi, kepentingan dan sensitiviti negeri ini.

Perdana Menteri berkata, pada masa sama, rakyat negeri ini turut memahami dengan menjadi sebahagian keluarga besar Malaysia, manfaatnya adalah lebih banyak berbanding sebelumnya.

"Inilah yang kita mahukan sebagai sebuah negara, kita perlu bergerak bersama-sama sebagai 1Malaysia, sebagai sebuah keluarga yang besar.

"Sebagai sebuah negara, Malaysia telah mengorak langkah ke hadapan dan mencapai begitu banyak kemajuan, ada negara yang mencapai kemerdekaan lebih awal tetapi tidak semaju Malaysia pada hari ini," katanya.

Beliau berucap demikian pada Majlis Makan Malam Pemimpin-Pemimpin Parti Komponen BN, Ketua-Ketua Masyarakat dan Tuai-Tuai Rumah Kawasan Sibu, Lanang dan Sarikei di sini malam ini.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri, Puan Sri Raghad Kurdi Taib dan Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Sementara itu, Najib berkata, sejak dilantik sebagai Perdana Menteri, beliau dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah meluluskan 342 projek tambahan bernilai RM2.32 bilion khas untuk Sarawak.

Katanya, jumlah yang bukannya kecil itu merupakan petunjuk keikhlasan dan keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap rakyat Sarawak.

"Amat penting apabila menilai ahli politik, nilailah daripada perbuatan dan tindakannya, kita sudah buktikan kepada rakyat Sarawak bahawa kita prihatin.

"Kita berhasrat untuk meneruskannya dan dengan sokongan Ketua Menteri, kita boleh bekerjasama dalam kerangka Perlembagaan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment