My Add

Sunday 16 September 2012

Nakoula disoal pihak berkuasa AS

*NAKOULA yang menutup mukanya dengan kain diiringi keluar oleh para pegawai pejabat syerif dari rumahnya di Cerritos, California semalam.

LOS ANGELES, SABTU, 15 September, 2012:Seorang pembikin filem, Nakoula Basseley Nakoula yang menghasilkan skrip filem menghina Nabi Muhammad SAW, Innocence of Muslims disoal oleh beberapa pegawai perunding cara di sebuah pejabat syerif di Cerritos sini semalam.

Beberapa pegawai persekutuan berkata, mereka menyiasat aktiviti Nakoula, 55, yang sebelum ini didapati bersalah melakukan jenayah kewangan.

Nakoula yang mengaku dia membocorkan sebahagian filem itu bagaimanapun tidak ditangkap.

Lelaki itu disoal oleh pegawai perunding cara tersebut kerana dia telah dibebaskan secara bersyarat pada Jun 2011 selepas menjalani hukuman penjara selama 21 bulan.

Dia didapati bersalah menipu bank dengan menggunakan identiti palsu dengan membuka 600 akaun bank.

Berdasarkan syarat pembebasannya, Nakoula tidak dibenarkan untuk menggunakan komputer serta internet selama lima tahun tanpa kebenaran daripada para pegawai perunding cara.

Hakim mungkin mengarahkan dia kembali dipenjarakan kerana melanggar syarat pembebasannya itu.

Nakoula yang merupakan penganut Kristian Koptik berketurunan Mesir menutup muka dengan kain semasa dia menaiki sebuah kereta bersama beberapa pegawai daripada pejabat syerif dari rumahnya.

Dia dibawa ke pejabat syerif di sini.

Seorang timbalan syerif, Don Walker berkata, Nakoula pergi ke pejabat tersebut secara sukarela.

Nakoula memberitahu agensi berita AP bahawa dia merupakan pengurus logistik untuk filem itu.

Keganasan akibat penyiaran sebahagian filem itu di laman YouTube telah menyebabkan Duta Amerika Syarikat (AS) ke Libya, Chris Stevens terbunuh di Libya pada Selasa lalu.

Di bandar Tripoli, Lebanon kelmarin, seorang penunjuk perasaaan terbunuh selepas pertempuran berlaku antara kumpulan penunjuk perasaan dengan polis.

Keganasan itu menyebabkan Ketua Gereja Roman Katolik, Pope Benedict XVI yang berada di Lebanon meminta penduduk Kristian, Yahudi dan Islam melakukan perdamaian.

Tunjuk perasaan bagi membantah filem tersebut juga menyebabkan Kedutaan Jerman di Khartoum, Sudan diceroboh dan sebahagian bangunan dibakar.

Seramai tiga orang mati semasa Kedutaan Jerman dan Britain di Khartoum diserbu para penunjuk perasaan.

Para penunjuk perasaan turut berhimpun bagi membantah filem berkenaan di beberapa negara lain di depan Kedutaan AS.

Sementara itu, agensi berita AFP melaporkan filem itu dihasilkan oleh sebuah kumpulan agama Kristian di AS yang dikenali sebagai Media for Christ.

Agensi berita itu melaporkan filem tersebut diarahkan oleh seorang pengarah filem lucah, Alan Roberts yang berusia 65 tahun.

Roberts pernah mengarahkan filem lucah seperti Young Lady Chatterley II.

Filem bajet rendah itu yang mana para pelakonnya bertutur dengan menggunakan loghat AS, menampilkan orang Islam sebagai tidak bermoral dan ganas.

Ia memperlekehkan Nabi Muhammad dan menyentuh tentang tema homoseks serta fidofilia.

Filem tersebut menunjukkan Nabi Muhammad tidur bersama beberapa wanita, bercakap mengenai pembunuhan kanak-kanak dan merujuk keldai sebagai “haiwan Islam yang pertama”. – Agensi

No comments:

Post a Comment