My Add

Thursday 27 September 2012

Kerajaan sentiasa prihatin kebajikan pelatih PLKN - Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, RABU, 26 September, 2012: Kerajaan sentiasa prihatin dengan kebajikan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan komitmen itu terbukti melalui penyediaan perlindungan insurans kepada semua pelatih sejak program itu mula dilaksanakan pada 2003.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, insurans itu melindungi pelatih sekiranya berlaku kemalangan, kecederaan atau kematian sebelum dan selepas menyertai PLKN.

Katanya, dalam skop perkhidmatan insurans di bawah kontrak yang dimeterai antara kerajaan dengan syarikat insurans, setiap pelatih PLKN akan dilindungi sepanjang tempoh latihan berlangsung.

“Tempoh perlindungan ini memadai kerana kerajaan telah memanjangkan tempohnya selama tiga hari sebelum pelatih menyertai latihan dan tujuh hari selepas pelatih keluar dari kem latihan," katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) yang meminta kementerian menyatakan sama ada kajian semula perlu dibuat berkenaan bayaran pampasan kepada keluarga mendiang pelatih PLKN, A. Tamilarasi, 18, yang meninggal dunia April lalu.

Tamilarasi yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Taman Desa Cempaka, Nilai, Negeri Sembilan meninggal dunia setelah lebih setahun koma selepas mengalami demam panas sewaktu menjalani latihan PLKN di Kem PDS Resort, Pasir Panjang, Port Dickson.

Sementara itu, pada sidang akhbar di lobi Parlimen, Ahmad Zahid berkata, sebanyak RM9,000 wang ihsan diberikan kepada ahli keluarga mendiang Tamilarasi.

Katanya, jumlah itu meliputi bantuan kos rawatan serta perjalanan ahli keluarga mendiang ke hospital dan dibayar atas budi bicara Kementerian Pertahanan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menambah, Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) telah mengambil lapan langkah menambah baik program dan modul latihan yang dilakukan secara berkala.

“Langkah-langkah itu meliputi peningkatan prasarana di kem latihan, pemeriksaan berjadual oleh Kementerian Kesihatan, pemantauan kualiti makanan dan penyediaan pasukan perubatan di setiap kem.

“Selain itu, kita juga mengecualikan atau menangguh pelatih yang mempunyai penyakit seperti asma atau jantung daripada menjalani latihan, membuat latihan kemalangan, kursus rawatan pernafasan untuk jurulatih dan taklimat persediaan latihan kepada jurulatih serta pelatih," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment