My Add

Wednesday 12 September 2012

Kertas siasatan pengawal didakwa acu pistol ke AG

M JEFFRI RAZALI
MELAKA, SELASA, 11 September, 2012: Kertas siasatan kejadian pengawal peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang didakwa mengacukan pistol serta insiden bas yang dinaiki Ketua Pembangkang itu disimbah cat, dijangka diserah kepada Pejabat Peguam Negara minggu depan.

Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, siasatan masih berjalan dan polis percaya ia dapat diselesaikan dalam sedikit masa lagi.

Bagaimanapun, menurutnya, setakat ini, polis masih dalam proses meneliti video kejadian yang diserahkan kepada pihak polis selepas kejadian berkenaan.

"Kita masih meneliti video berkenaan. Sekiranya terdapat bukti yang kukuh (dalam video berkenaan), kita akan panggil beliau (pengawal peribadi Anwar) semula untuk dirakam percakapan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis Jalinan Mesra Aidilfitri anjuran Jabatan Penjara Malaysia di Kompleks Penjara Sungai Udang di sini, hari ini.

Menurut Ghee Lye, siasatan ke atas kedua-dua kejadian itu berjalan lancar dan polis telah pun mengambil keterangan dari beberapa saksi kejadian.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada saksi yang tampil memberi keterangan, termasuklah mereka yang membantu dengan menyerahkan rakaman video kejadian," katanya.

Dalam kejadian Sabtu lalu, pengawal peribadi Anwar didakwa telah mengacukan pistol kepada orang awam semasa lawatan pemimpin itu ke daerah Jasin sempena program Jelajah Merdeka Rakyat.

Berikutan kejadian itu, pengawal peribadi berkenaan telah ditahan polis sebelum dibebaskan. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment