My Add

Thursday 13 September 2012

KLIA2 mula operasi dengan 10 syarikat penerbangan

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 13 September, 2012: Terminal Syarikat Penerbangan Kos Rendah (LCC), KLIA2 di Sepang, kini diambang menjadi hos kepada 10 syarikat penerbangan kos rendah sebaik ia beroperasi pada Mei 2013, kata Ketua Pegawai Kewangan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Faizal Mansor.

Katanya, pengendali lapangan terbang itu masih mengalu-alukan lebih banyak syarikat penerbangan menggunakan KLIA2, kerana lapangan terbang itu berupaya menampung 45 juta penumpang setahun.

Katanya, KLIA2 direka bentuk untuk menampung semua jenis syarikat penerbangan tetapi sangat sesuai untuk model perniagaan syarikat penerbangan kos rendah.

"Sebaik lapangan terbang itu beroperasi pada Mei 2013, MAHB akan mempunyai hampir 10 syarikat penerbangan kos rendah beroperasi dari sana. Antaranya ialah Zest Airways, Lion Air, Tiger Airways, Cebu Pacific Air dan AirAsia.

"Kami mengalu-alukan lebih banyak syarikat penerbangan ke KLIA2. Lima tahun dulu, hanya ada lima syarikat penerbangan kos rendah tetapi kini terdapat kira-kira 30 hingga 40 syarikat penerbangan kos rendah," katanya.

Yang terbaru menyertai kumpulan itu, katanya, ialah Malindo Airways, yang diperkenalkan pada Selasa lalu, melalui usaha sama antara National Aerospace and Defence Industries Sdn Bhd (NADI) dan PT Lion Grup.

Mengenai Malindo Airways, Faizal berkata MAHB akan memulakan perbincangan terperinci dengan syarikat penerbangan kos rendah terbaru itu tidak lama lagi, khususnya mengenai tahap ruang dan kemudahan yang diperlukan Malindo Airways dari lapangan terbang baru itu.
"Kami sudah mengadakan persefahaman dan masih belum berbincang secara terperinci."

"MAHB mengalu-alukan syarikat penerbangan baharu ke Malaysia serta ke KLIA2. Bagi sesebuah lapangan terbang, lebih banyak persaingan lebih baik," katanya.

KLIA2 dibina pada kos hampir RM4 bilion bagi menggantikan Terminal Syarikat Penerbangan Kos Rendah sementara yang dibina pada 2006.

Lapangan terbang baru itu, yang terletak kira-kira 2.0 kilometer dari terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang utama, sebaik siap akan menjadi Terminal LCC terbesar di rantau ini dengan kawasan keseluruhan 242,000 meter persegi.

KLIA2 akan turut menampilkan ciri-ciri hab pengangkutan pelbagai mod bagi bas, teksi, dan kereta api Express Rail Link (ERL) bagi menyediakan hubungan bagi para penumpang dan juga orang ramai, sebagai tambahan kepada sistem pengendalian bagasi separa automatik, zon sokongan, kargo dan kompleks dalam penerbangan, kompleks meletak 6,000 kenderaan, dua hingga tiga hotel dan ibu pejabat masa depan AirAsia.

Pembukaan KLIA2 akan turut membantu menjadikan Malaysia sebagai salah satu hab penerbangan di Asia Tenggara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment