My Add

Saturday 15 September 2012

Malaysia sekat penyiaran filem hina Nabi Muhammad SAW

BINTULU, SABTU, 15 September, 2012: Kerajaan akan menyekat penyiaran filem 'Innocence of Muslims' yang menimbulkan kemarahan umat Islam seluruh dunia kerana menghina Nabi Muhammad SAW berikutan motif filem itu jelas menghina agama Islam.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata negara Islam lain seperti Indonesia dan Timur Tengah sudah melakukan tindakan menyekat penyiaran filem berkenaan dan Malaysia akan mengikut jejak yang sama.

"Saya sudah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk berunding terus dengan pihak berkuasa lain supaya tidak membenarkan akses kepada paparan itu sama ada melalui Youtube atau pun saluran lain," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menutup bengkel literasi ICT untuk Ketua-ketua Masyarakat Daerah Bintulu di Pusat Internet 1Malaysia Kampung Penan Muslim di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini dipetik berkata tindakan segera belum diambil dengan menghalang filem itu diedar di negara dan mencadangkan filem berkenaan diharamkan daripada disiar di negara ini.

Rais berkata, sekatan filem itu bertujuan memberi amaran kepada mana-mana pihak sama ada di dalam atau luar negara yang kerajaan tidak akan bertoleransi dengan mana-mana elemen negatif yang menyentuh sensitivi agama dan kaum.

Beliau berkata, kerajaan tidak mahu penyiaran filem berkenaan mendatangkan impak negatif jangka panjang yang membawa kepada penyiaran filem yang menyentuh sensitiviti penganut agama lain seperti Kristian dan Buddha.

Mengenai tindakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak yang membuat laporan polis berhubung kenyataan seorang ahli panel yang menyinggung perasaan rakyat Sarawak dan Sabah dalam program Bicara Kampus pada 9 September lalu, Rais berkata, beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

Dalam episod disiarkan secara langsung di TV1, seorang daripada ahli panel itu mempersoalkan permohonan kerajaan kedua-dua negeri itu supaya dinaikkan jumlah royalti petroleum lima peratus yang diterima sekarang.

Naib Ketua Pemuda PBB, Pandi Suhaili ketika dihubungi BERNAMA mengesahkan laporan polis akan dibuat di Sibu hari ini untuk meminta polis menyiasat dan mengambil tindakan undang-undang terhadap ahli panel itu.

"Kenyataan itu jelas menyinggung perasaan dan menjejaskan intergrasi nasional yang cuba diusahakan oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata, RTM patut menghentikan buat sementara program Bicara Kampus bagi meredakan kontroversi berkenaan.

Selain laporan polis oleh Pemuda PBB Sarawak di Sibu, beberapa laporan lagi akan dibuat di Kuching esok atas inisiatif beberapa individu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment