My Add

Sunday 16 September 2012

Melaka layak capai status bandar raya: Ali Rustam

KUALA LUMPUR, AHAD, 16 September, 2012: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berazam menjadikan negeri bersejarah itu sebuah negeri bandar raya yang mengamalkan teknologi hijau.

Katanya, selepas Melaka mencapai status negeri maju dua tahun lalu, sasaran beliau selepas ini ialah untuk menjadikan Melaka sebuah negeri bandar raya berasaskan teknologi hijau, sejajar dengan komitmen kerajaan Malaysia untuk mengurangkan pengeluaran karbon hingga sebanyak 40 peratus menjelang 2020.

Mohd Ali berkata, wawasan beliau ialah untuk melihat Melaka bertukar menjadi sebuah negeri bandar raya di mana semua kemudahan dapat dinikmati seluruh penduduknya, tanpa mengira yang tinggal di bandar atau luar bandar, terutama dari segi prasarana, komunikasi, peluang ekonomi, pendidikan dan alam sekitar, selain kemudahan rekreasi dan sukan, peluang pekerjaan dan paras pendapatan.

"Jurang pendapatan perlu dikurangkan dan menjadi lebih seimbang, berbanding negeri lain, yang bukan bertaraf negeri bandar raya. Jika kita lihat, agihan pendapatan nasional adalah sebanyak RM1 di peringkat kampung, tetapi paras di bandar pula ialah RM1.99, atau hampir sekali ganda.

"Tetapi, di Melaka, kadar ini berkurangan kepada RM1 di kawasan kampung dan RM1.37 di kawasan bandar. Kami sedang menuju kepada kadar sama rata RM1 dan RM1," katanya dalam temu bual yang tersiar dalam keluaran terbaru majalah bulanan 'Melaka Business'.

Dalam temu bual itu, Mohd Ali, yang juga membayangkan dengan jelas bahawa selepas tiga penggal menjadi ketua menteri, kini beliau "lebih daripada bersedia" untuk berkhidmat di peringkat persekutuan, ketika timbul ura-ura bahawa beliau akan bertanding bagi kerusi parlimen pada pilihan raya umum akan datang.

"Pada pilihan raya lepas, orang ada bertanya kepada saya (tentang berpindah ke peringkat persekutuan). Kali ini, mereka sekali lagi bertanya soalan itu.
Apabila orang tanya saya, seperti tahun lepas juga, saya katakan bahawa saya lebih daripada bersedia untuk ke parlimen.

"Ada orang kata, kenapa tak kekal saja seperti sekarang? Sebabnya, saya sudah berkhidmat untuk Melaka selama tiga penggal. Apabila orang bertanya saya siapakah yang boleh mengambil alih tempat saya, saya akan jawab, ramai orang yang boleh. Terdapat ramai orang yang layak di Melaka ini," katanya.

Mohd Ali berkata, walaupun beliau berkhidmat di peringkat persekutuan kelak, tetapi, Melaka, antara negeri paling pesat membangun, akan terus berkembang dan beliau sentiasa bersedia untuk membantu kepimpinan baharu, berbekalkan pengalaman beliau mentadbir negeri itu.

"Akhirnya, setiap orang perlu berundur. Sebelum ini, saya menjadi timbalan menteri, jadi sekiranya diberi peluang berkhidmat di peringkat persekutuan, saya berharap dapat menyumbang kepada negara seluruhnya," kata beliau. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment