My Add

Thursday 20 September 2012

Najib ucap takziah keluarga PTD mati lemas di Pekan

ALOR SETAR, KHAMIS, 20 September, 2012:: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengucapkan takziah kepada keluarga Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) Allahyarham Aldy Hasni Abu Hassan, 35, yang mati lemas semasa menjalani latihan di Kem Wataniah Force 136, Pekan, Pahang, Ahad lalu.

Ucapan takziah itu disampaikan menerusi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah yang melawat keluarga mangsa di kediaman mereka di Lorong Fajar, Jalan Sultanah di sini hari ini. 

Ahmad Bashah berkata Perdana Menteri turut menyampaikan pesanan kepada keluarga dan isteri Allahyarham, Farah Fudhlana Zainuddun, 34, agar tabah menghadapi dugaan.

Katanya Perdana Menteri juga memberi jaminan sekiranya ada sebarang keperluan atau bantuan yang diperlukan oleh keluarga dan isteri Allahyarham, mereka boleh mendapatkan pertolongan daripada Umno Kedah dari semasa ke semasa.

Beliau berkata Umno Kedah bersedia membantu keluarga dan isteri Allahyarham sekiranya mereka memerlukan apa-apa bantuan pada masa akan datang.

Ahmad Bashah yang mewakili Najib turut menghulurkan sumbangan daripada kerajaan persekutuan kepada isteri Allahyarham bagi meringankan beban yang dialami keluarga berkenaan.

Sementara itu, bapa Allahyarham, Abu Hassan Ahmad, 67, berkata beliau amat berterima kasih kepada Perdana Menteri dan orang ramai yang prihatin terhadap keluarganya. 

Abu Hassan, yang juga bekas Setiausaha Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), berharap dapat bertemu dengan Perdana Menteri secara terus bagi menyampaikan luahan hati dan kesedihan yang dihadapi keluarganya.

"Saya tak mahu melalui media sahaja, kalau boleh saya sendiri mahu berjumpa dengan beliau (Perdana Menteri). Saya lebih senang kalau bersemuka," kata Abu Hassan.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang Ahad lalu, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam air semasa menjalani latihan bersama 243 pegawai PTD lain ketika menyeberangi tali air berdekatan Sungai Miang di Pekan.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan dua anak lelaki kembar iaitu Al Malik Fahreen dan Al Mikhail Fareeq yang berusia dua tahun. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment