My Add

Saturday 15 September 2012

Pasukan petugas implementasi akan ditubuhkan

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 14 September, 2012: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kementerian Pelajaran akan menubuhkan Pasukan Petugas Implementasi Pelan Pembangunan Pendidikan bagi memastikan segala perakuan dalam Laporan Akhir Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 nanti mampu memenuhi harapan dan aspirasi rakyat.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, cadangan penubuhan pasukan itu susulan daripada mesyuarat Kabinet baru-baru ini dan akan dipengerusikan beliau sendiri bersama pimpinan beberapa agensi dan kementerian.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, antara agensi berkenaan ialah Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pengajian Tinggi.

“Kerajaan telah mempamerkan beberapa anjakan yang diyakini akan membantu dalam memacu tahap prestasi sistem penyampaian pendidikan dan keberhasilan pelajar.

“Ini merupakan inisiatif yang besar dan kerajaan sedar tanggungjawab ini harus dipikul bukan sahaja oleh Kementerian Pelajaran tetapi juga memerlukan dokongan dan sokongan agensi kerajaan lain, swasta, pertubuhan bukan kerajaan serta rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Pendidikan Nasional 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.

Hadir sama, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pengerusi Majlis Profesor Negara, Prof. Emeritus Datuk Dr. Zakri Abdul Hamid.

Muhyiddin berkata, pelancaran Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 adalah tepat pada masanya.

Ujarnya, dunia pendidikan merupakan bidang yang dinamik dan jika kerajaan tidak menumpukan perhatian kepada keperluan semasa, dikhuatiri generasi masa depan mungkin ketinggalan yang akhirnya menjejas daya saing negara.

Katanya, selain pasukan petugas implementasi yang akan ditubuhkan, Majlis Profesor Negara sebagai organisasi payung kepada semua profesor yang mempunyai kepakaran diharap dapat memberi sokongan kepada konsep dan pelaksanaan pelan pembangunan tersebut.

“Justeru saya ingin menjemput ahli majlis dan Kementerian Pengajian Tinggi untuk bersama mengasaskan titik pertemuan dan dialog sekali gus menyumbang pandangan secara sistematik selain membina bagi memantapkan lagi laporan pelan pembangunan pendidikan berkenaan," jelas beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment