My Add

Saturday 15 September 2012

Malaysia, UK terus perkukuh hubungan

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 14 September, 2012: Malaysia dan United Kingdom (UK) akan terus memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua negara dan tidak akan membenarkan hubungan istimewa itu terputus.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perkara itu ditekankan semasa lawatan rasmi pasangan diraja Britain, Putera William dan isteri, Catherine ke negara ini.

Menurutnya, walaupun terdapat banyak perubahan yang dialami dalam tempoh enam dekad sejak baginda Ratu memegang takhta namun, hubungan itu yang mempunyai akar umbi dalam sejarah kekal erat.

"Satu penghormatan yang amat besar bagi saya semalam kerana dapat menerima dan mengalu-alukan ketibaan pasangan diraja Britain ke Malaysia. Kami membincangkan ikatan yang sememangnya wujud di antara kedua-dua negara.

"Pada April lalu, kita juga telah diberi penghormatan menerima lawatan David Cameron, Perdana Menteri Britain yang pertama melawat Malaysia sejak hampir 20 tahun.

"Sewaktu lawatan itu, beliau dan saya telah berikrar tidak akan benarkan hubungan istimewa antara negara ini terputus sebaliknya memupuk dan membinanya atas nilai-nilai serta kepentingan bersama," katanya dalam entri terbaru di blognya,http:// 1malaysia.com.my hari ini.

Najib berkata, beliau dan Cameron juga bersetuju menguatkan lagi hubungan politik dan diplomatik serta menetapkan sasaran menggandakan perdagangan kepada 8 bilion pound (RM39.68 bilion) menjelang 2016.

"Malaysia telah mendapat manfaat daripada pengaruh dan pelaburan Britain sejak bertahun-tahun lamanya.

"Hari ini, UK juga mendapat manfaat daripada ekonomi dan komuniti perniagaan Malaysia yang semakin berkembang," jelasnya.

Ujar beliau, antara perkembangan terbaru termasuk pelaburan yang akan dibuat pelabur Malaysia untuk membangunkan semula salah satu ikon London iaitu Stesen Janakuasa Battersea.

"Sebagai seorang yang mendapat manfaat daripada sistem pendidikan bertaraf dunia di UK, saya juga gembira kita akan melihat kerjasama yang lebih erat antara institusi pendidikan kedua-dua negara," kata Najib.

Setiap tahun, lebih 13,000 rakyat Malaysia mengembara ke UK untuk melanjutkan pelajaran.

"Sementara itu, di Malaysia, penuntut dari kedua-dua negara menelaah pelajaran mereka bersama di kampus Universiti Nottingham di Semenyih, kampus penuh universiti Britain yang pertama di luar negara.

"Saya berharap mereka akan membawa bersama kemahiran dan pengalaman yang cukup kaya sama seperti apa yang telah saya alami sewaktu pengajian di Nottingham dahulu," katanya.

Dari segi ekonomi, budaya dan politik pula, tegas Najib, hubungan dua hala antara kedua-dua negara berjaya mengatasi ujian masa.

Katanya, sejarah dan nilai kedua-dua negara saling berkaitan antara satu sama lain selain percaya pada kuasa kesederhanaan, kekuatan, kebebasan sivil serta keperluan meningkatkan kemakmuran dengan membina ekonomi terbuka.

"Sambutan ulang tahun pemerintahan baginda Ratu sesuai pada masanya. Selain meraikan pemerintahan baginda Ratu, kita juga harus meraikan hubungan sejarah kedua-dua negara sama ada besar mahupun kecil.

"Seperti kejayaan baginda Ratu memenuhi ikrar yang dibuat sewaktu pertabalan baginda 60 tahun lalu, saya juga berharap ikrar Perdana Menteri (Cameron) dan saya untuk memperbaharui hubungan antara negara akan turut berjaya menempuhi ujian masa," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment