My Add

Friday 14 September 2012

Pelaburan syarikat Malaysia di UK langkah bijak

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 14 September, 2012: Putera William hari ini memuji “langkah bijak" syarikat Malaysia yang membuat pelaburan besar dalam pelbagai sektor di Britain meskipun keadaan ekonomi global yang tidak menentu sekarang.

Duke of Cambridge itu yang menyampaikan ucapan sulungnya selama enam minit berkata sejak beberapa tahun ini, syarikat Malaysia menunjukkan kecekalan mereka melabur dalam jenama-jenama ikon UK.

Baginda menyebut konsortium Malaysia yang membeli tapak Stesen Janakuasa Battersea di London, pelaburan DRB-Hicom dalam Lotus dan Pelaburan PKS Malaysia dalam InfoValley sebagai antara beberapa contoh.

"Britain adalah sebuah ekonomi yang inovatif, kompetitif dan yang paling penting sebuah ekonomi terbuka yang mengalu-alukan kedatangan ahli perniagaan Malaysia. Pelaburan dalam Battersea merupakan sebahagian daripada contoh tersebut," kata Putera William kepada kira-kira 1,000 ahli perniagaan yang menghadiri majlis makan tengah hari perniagaan yang dianjurkan oleh Dewan Perniagaan Britain Malaysia, di sini, hari ini.

"Ingin beta nyatakan di sini bahawa melabur dalam sektor automotif Britain merupakan satu langkah yang bijak, meskipun dalam keadaan ekonomi antarabangsa yang sukar ketika ini.

"United Kingdom buat pertama kali dalam tempoh 40 tahun sekali lagi menjadi pengeksport bersih kereta," kata pewaris kerabat diraja Britain itu.

Baginda berkata nadi kepada hubungan yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara itu adalah hubungan perniagaan, yang disifatkan beliau sebagai jalan dua hala.

"Beta maklum bahawa syarikat-syarikat Britain dalam pelbagai sektor, daripada minyak dan gas hinggalah kepada industri kreatif, mencatatkan prestasi perniagaan yang amat baik di sini," kata putera itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment