My Add

Sunday 16 September 2012

Pembangkang sangsi sokongan rakyat

BENTONG, AHAD, 16 September, 2012: Keengganan Selangor mengadakan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan pilihan raya persekutuan menunjukkan mereka terdesak untuk menang pada pilihan raya umum akan datang.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, ini kerana kerajaan negeri itu yang diperintah Parti Keadilan Rakyat (PKR) sangsi dengan penilaian rakyat terhadap pemerintahan mereka selama ini yang banyak menabur janji kosong daripada menunaikannya.

"Kita kena serah diri kepada rakyat untuk dinilai, bukan menggunakan helah seperti ini (pilihan raya berasingan) untuk menang. Cara ini tidak memberi kesan kepada rakyat, sebab untuk menang, sesebuah parti perlu bekerja keras dan bagi manfaat kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga mangsa kebakaran di Kampung Sungai Dua dekat sini semalam.

Liow yang juga Menteri Kesihatan berkata apa juga taktik atau strategi yang ingin dilakukan pembangkang pada pilihan raya akan datang tidak akan menjejaskan jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) yang kini bersiap sedia menghadapi pilihan raya bila-bila masa dari sekarang.

"Bagi MCA jentera, kita kini sudah mengerah hingga ke akar umbi untuk bertemu dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat serta menangkis fitnah serta tohmahan pembangkang terhadap BN.

"Kita juga perlu membongkar niat sebenar pembangkang dalam isu pinjaman PTPTN, gaji minima dan lain-lain lagi yang sebenarnya pembangkang hanya pandai menabur janji kosong, tetapi realiti sebenar, ia tidak dapat ditunaikan. Ini yang ingin kita jelaskan kepada rakyat," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment