My Add

Saturday 22 September 2012

Penyertaan Felda dalam askar Wataniah realisasikan hasrat kerajaan

JEMPOL, SABTU, 22 September, 2012: Penyertaan masyarakat peneroka Felda dalam Askar Wataniah dijangka dapat merealisasikan hasrat kerajaan untuk mencapai nisbah satu anggota tetap bagi dua anggota sukarela menjelang 2020.

Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia Mej Jen Datuk Razali Ahmad berkata dengan jumlah 317 tanah rancangan Felda di seluruh negara, hasrat itu mampu dicapai yang sekaligus dilihat dapat membantu kerajaan memupuk semangat patriotisme di kalangan warga peneroka.

"Penubuhan Kompeni Askar Wataniah di seluruh negeri yang ada tanah rancangan Felda ini perlu disegerakan agar kita dapat melatih Askar Wataniah bersama anggota tentera tetap.

"Apabila mereka telah dilatih ia pastinya akan memantapkan lagi pertahanan negara kita dan lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan pada masa akan datang," katanya semasa berucap melancarkan Kompeni Askar Wataniah Wilayah Felda Negeri Sembilan di Felda Raja Alias 2, di sini hari ini.

Turut hadir Brig Jen Datuk Mahadi Abdul dan Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) Tan Sri Rozali Ismail yang juga merupakan Brig Jen (Kehormat) Askar Wataniah (Kor Rejimen Askar Jurutera Diraja).

Razali berkata penyertaan lebih ramai rakyat dalam Askar Wataniah akan memastikan konsep pertahanan menyeluruh mampu dicapai seperti yang telah ditetapkan dalam Dasar Pertahanan Negara.

Beliau berkata ini kerana tanggungjawab mempertahan negara bukanlah hanya terletak pada pasukan keselamatan semata-mata, bahkan semua rakyat.

Sementara itu Rozali (presiden GWGF) berkata penyertaan oleh masyarakat Felda dalam Askar Wataniah sangat menggalakkan dan dijangka akan mencapai 3,000 orang dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Justeru, katanya ATM diharap dapat menyegerakan penubuhan kompeni Askar Wataniah di beberapa negeri lagi agar lebih ramai masyarakat Felda yang melibatkan diri dalam menjadi benteng pertahanan negara.

"Penyertaan masyarakat Felda dalam Askar Wataniah akan menambah bilangan benteng pertahanan negara, dan mereka juga dapat mempertahankan Felda dari ancaman pihak-pihak tertentu yang iri hati dengan kejayaan msyarakat Felda," katanya.

Pelancaran Kompeni Askar Wataniah Wilayah Felda Negeri Sembilan ini adalah yang kelapan selepas kompeni sama dilancarkan di beberapa negeri sebelum ini termasuk di Johor, Pahang, Selangor dan Sabah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment