My Add

Tuesday 4 September 2012

Putera William, Kate Middleton di Taman KLCC 14 September


KUALA LUMPUR, ISNIN, 03 September, 2012: Rakyat Malaysia berpeluang bertemu dan melihat sendiri pasangan diraja Britain, Putera William dan Kate Middleton apabila Duke dan Duchess of Cambridge itu mengadakan walkabout di Taman KLCC pada 14 September ini.

Pada acara itu, Putera William dan Middleton akan diraikan dengan pelbagai acara kebudayaan yang memperlihatkan latar belakang Malaysia yang penuh dengan kepelbagaian budaya menarik.

Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Simon Featherstone berkata, walkaboutitu merupakan antara acara yang bakal diadakan sepanjang lawatan rasmi Duke dan Duchess of Cambridge berkenaan selama tiga hari ke negara ini bermula 13 hingga 16 September ini.

"Acara walkabout itu terbuka kepada orang ramai yang mahu melihat sendiri pasangan diraja tersebut. Kami tidak dapat menjangkakan berapa ramai yang akan hadir tetapi ia sudah pasti menjadi acara yang hebat," katanya pada sidang akhbar mengenai lawatan itu di sini hari ini.

Lawatan rasmi Putera William dan Middleton itu adalah sempena ulang tahun ke-60 takhta Ratu Elizabeth II yang diraikan sepanjang tahun ini.

Malaysia merupakan negara dalam senarai rangka lawatan pasangan diraja itu selepas Singapura dan kedua-dua mereka kemudiannya akan berangkat ke Kepulauan Solomon dan Tuvalu bermula 16 hingga 19 September ini.

Featherstone berkata, pada lawatan rasmi itu juga Duke dan Duchess of Cambridge berkenaan akan menghadiri beberapa acara penting termasuk menghadiri majlis makan malam yang dihoskan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta majlis makan tengah hari yang dihoskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, Middleton dijadualkan akan menyampaikan ucapan umum keduanya dan yang pertama di luar Britain pada acara lawatan di Hospis Malaysia.

Sementara itu, tambah beliau, Putera William pula akan menyampaikan ucapan mengenai kepentingan hubungan dua hala antara United Kingdom dan Malaysia pada majlis makan tengah hari anjuran Dewan Perdagangan Britain Malaysia (BMCC) yang dijangka dihadiri seramai 1,200 tetamu.

Lebih menarik, menurut Featherstone, Putera William dan Middleton juga akan melawat kawasan pedalaman di Lembah Danum, Sabah sambil meninjau usaha memelihara hutan hujan tropika yang tertua di Asia Tenggara itu.

"Duke dan Duchess of Cambridge itu begitu teruja untuk melawat Malaysia tidak lama lagi bagi melihat sendiri kepelbagaian budaya yang terdapat di negara ini.

"Ini kerana United Kingdom dan Malaysia sememangnya mempunyai hubungan rapat sejak lama dahulu," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment