My Add

Sunday 16 September 2012

Raja Muda Perlis lawat KTH Royal Institute of Technology

STOCKHOLM, AHAD, 16 September, 2012: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalllail hari ini meninjau pengalaman KTH Royal Institute of Technology (KTH) di sini dan berharap Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berusaha mengintai peluang untuk menjalin kerjasama dengan institusi pengajian tinggi itu.

Baginda yang juga Canselor UniMAP yakin pengalaman institusi yang diwujudkan pada 1827 itu boleh dimanfaatkan dengan sebaik mungkin termasuk melalui pertukaran tenaga pengajar antara kedua-dua institusi.

Sebelum ini UniMAP yang meletakkan sasaran menjadi universiti yang berada dalam kelompok 500 yang terbaik di seluruh dunia menjelang 2020 menjalin kerjasama dengan banyak universiti tersohor di dunia.

KTH adalah universiti teknikal tertua di Sweden dan mempunyai lebih 17,000 pelajar serta 3,900 tenaga kerja dan 1,950 penyelidik.

Ketibaan baginda dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ke universiti berusia 185 tahun itu disambut Naib Presiden KTH Prof Dr Bjorn Birgisson dan seterusnya mendengar taklimat yang disampaikan Birgisson bersama ketua penyelidik Biochemistry, Prof Dr Per Berglund.

Baginda yang diiringi Duta Besar Malaysia ke Sweden Datuk Badruddin Ab Rahman turut dibawa melawat ke seluruh kampus RTH.

Sebelum itu, baginda melawat bangunan City Hall of Stockholm yang dibina pada 1923 dan merupakan mercu tanda bandar Stockholm yang kaya dengan seni bina yang menarik. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment