My Add

Thursday 27 September 2012

Shahrizat yakin Belanjawan 2013 mesra wanita

ALOR SETAR, KHAMIS, 27 September, 2012: Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yakin belanjawan yang akan dibentang Perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak esok adalah belanjawan yang mesra wanita.

Beliau percaya Najib dan kepimpinan Barisan Nasional (BN) akan memberi perhatian kepada wanita dan keluarga.

"Peruntukan kepada wanita akan diberikan dengan melihat perjuangan wanita BN yang sekian lama iaitu untuk mengarus perdanakan wanita dan mengupayakan wanita sama ada wanita itu suri rumah atau wanita korporat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Salam Sayang Pergerakan Wanita UMNO Kedah, di sini hari ini.

Katanya beliau berharap insentif akan diberi kepada semua wanita tanpa mengira peringkat usia atau latar belakang.

"Ini adalah penting walaupun mereka hanya duduk di rumah, tapi mereka perlu dapat insentif daripada kerajaan. Saya sangat berharap dan yakin Datuk Seri (Najib) akan memberi banyak insentif kepada wanita dalam perbentangan bajet esok," katanya.

Sementara itu mengulas belanjawan bayangan pembangkang, Shahrizat berkata belanjawan itu hanya bajet angan-angan dan meminta Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menumpukan kepada perancangan meningkatkan ekonomi kaum wanita di negeri yang ditadbir pembangkang.

"Saya baru balik dari Kelantan dan wanita di sana mengeluh tak ada peluang nak berniaga. Di Kedah pun sama, tak ada peluang sebab ekonomi di bawah pentadbiran pembangkang sangat malap.

"Jadi tak payah la nak membentang bajet yang hanya angan-angan sahaja. Kalau tak ada hasil daripada warisan BN di negeri-negeri itu saya rasa memang "hauslah" wanita semua," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment