My Add

Sunday 16 September 2012

Siapa dorong Suaram bayar Balasubramaniam?

KUALA LUMPUR, SABTU, 15 September, 2012: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia mendesak Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mendedahkan pihak yang telah mendorong pertubuhan itu membiayai penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam membuat akuan bersumpah bagi memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Penerangannya, Ruslan Kasim berkata, ini ekoran pendedahan yang mendakwa Suaram mendapat dana asing daripada Open Society Institute, diasaskan penyangak wang antarabangsa, George Soros dan Yayasan Konrad Adenauer.

"Oleh kerana itu, kita mahu tahu siapa yang mendorong Suaram membiayai penyiasat persendirian terbabit membuat akuan bersumpah berkenaan.

"Kita mahu tahu sama ada pihak tersebut adalah Soros sendiri atau peguam, M. Puravalen atau pihak-pihak lain," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini kerajaan mendedahkan Suaram menerima dana lebih RM0.5 juta daripada Open Society Institute yang diasaskan oleh Soros, penyangak mata wang berketurunan Yahudi antara 2007 hingga 2010.

Sebelumnya, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lokman Noor Adam mendakwa, PKR, Suaram dan Malaysiakini mempunyai kaitan dengan Soros melalui dana yang disalurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa.

Ruslan mendakwa, sudah 'terang lagikan bersuluh' bahawa agenda utama rakan-rakan dan pembiaya Suaram adalah komplot untuk memfitnah Perdana Menteri dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

"Ia juga untuk membiayai program murtad, seks bebas serta lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). Ini semua adalah unsur-unsur yang dikutuk oleh Islam sama seperti filem yang diterbitkan oleh Nakuola Basseley Nakoula, Innocence of Muslims," dakwanya.

Dalam perkembangan sama, beliau meminta Kedutaan Amerika Syarikat ke Malaysia membuat pengesahan bahawa agenda Open Society Institute langsung tiada kaitan dengan Nakoula.

"Kita minta agar kedutaan berkenaan segera membuat pengesahan itu," tegas beliau lagi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment