My Add

Tuesday 18 September 2012

Suaram akan didakwa minggu ini

*ISMAIL Sabri Yaakob (empat dari kiri) melancarkan produk My Seniman Miracles di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir, Presiden Seniman, Zed Zaidi (tiga dari kiri). - UTUSAN/Abdul Razak Latif
Oleh HUSSAINI AMRAN 
KUALA LUMPUR, ISNIN, 17 September, 2012: Suara Rakyat Malaysia (Suaram) akan didakwa di mahkamah minggu ini setelah mendapat kebenaran Jabatan Peguam Negara.

Tanpa menyatakan atas kesalahan apa badan itu akan didakwa, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pendakwaan itu dilakukan hasil daripada siasatan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang kemudian mengemukakannya kepada jabatan berkenaan untuk tindakan lanjut.

Menurut beliau, kelewatan mengambil tindakan undang-undang terhadap Suaram itu adalah kerana kes tersebut perlu dirujuk terlebih dahulu dengan jabatan tersebut.

"Kes ini melibatkan kepentingan umum kerana Suaram merupakan sebuah badan yang tidak berdaftar tetapi aktif seperti sebuah pertubuhan yang sah.

"Oleh kerana kes ini diklasifikasikan sebagai berprofil tinggi, ia memerlukan pemerhatian Jabatan Peguam Negara," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mega Raya My Seniman anjuran Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), di sini hari ini.

Sebelum ini, Ismail Sabri pernah mendedahkan terdapat kaitan antara Suaram dan Suara Inisiatif Sdn. Bhd. (Suara Inisiatif) dari segi transaksi dana khususnya daripada pihak asing selepas beberapa pihak mendedahkan Suaram bukan sebuah pertubuhan bukan kerajaan.

Menurut beliau, Suara Inisiatif yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat 1965 didapati menyalurkan dana kepada Suaram manakala laporan tahunan kewangan syarikat itu pula menunjukkan aktiviti perdagangan syarikat tersebut hanya 0.06 peratus manakala selebihnya adalah sumbangan dana daripada pihak luar.

Sementara itu, ketika ditanya kemungkinan ada pihak lain akan turut didakwa atas kesalahan sama, beliau menjelaskan, tindakan hanya akan diambil sekiranya terdapat laporan mengenai salah laku atau wujud perkara meragukan melibatkan sesebuah syarikat atau pertubuhan.

Jelas beliau, setiap tahun lebih sejuta syarikat sendirian berhad yang berdaftar dengan SSM akan menghantar laporan tahunan untuk disemak agensi itu.

"Ini menyukarkan SSM menyiasat setiap kesalahan dan hanya akan membuat siasatan secara rawak.

"Siasatan hanya akan dibuat berdasarkan laporan yang dibuat oleh mana-mana pihak termasuk orang awam dan NGO," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment