My Add

Tuesday 18 September 2012

Nasharudin sokong Nik Aziz
   Nik Zziz, Nasharudin
Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD 
KUALA LUMPUR, ISNIN, 17 September, 2012: Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa menyokong pendirian Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa pelaksanaan hukum hudud tidak boleh dilengah-lengahkan kerana ia merupakan sebahagian daripada undang-undang syariah yang wajib ditunaikan.

Ketika bercakap dengan Utusan Malaysia hari ini, Nasharudin turut menegaskan kenyataan Menteri Besar Kelantan itu juga merupakan pendiriannya selama ini memandangkan pelaksanaan hukum hudud adalah salah satu asas perjuangan Pas sejak dahulu lagi.

Katanya, seperti mana kenyataan Nik Abdul Aziz sememangnya pelaksanaan sesuatu hukum atau undang-undang termasuk hukum hudud tidak tertakluk kepada pemahaman serta persetujuan rakyat terlebih dahulu.

''Sebaliknya kewajipan kita menunaikan hukum Allah SWT ini adalah sejajar dengan perintah Allah. Oleh itu menjadi tanggungjawab kita untuk melaksanakannya tanpa perlu menunggu kepada pemahaman dan persetujuan rakyat.

''Sebenarnya apa yang diputuskan oleh Nik Abdul Aziz ini adalah sama dengan pendirian saya dan sebab itu saya menyokong penuh kenyataan beliau. Bagi saya usaha untuk menegakkan hukum Allah ini wajib dilakukan dengan segera,'' katanya lagi.

Nik Abdul Aziz dalam blognya yang disiarkan pada 24 Ogos lalu dan dipetik oleh sebuah kahbar berbahasa Inggeris hari ini menegaskan, tiada asas hukum dan keperluan berdasarkan logik untuk melengah-lengahkan pelaksanaan hukum hudud kerana ia adalah sebahagian daripada perundangan syariah yang diwajibkan di dalam Islam.

Nik Abdul Aziz berkata, tiada hukum atau undang-undang di dunia ini sama ada di bawah sistem demokrasi mahu pun komunis yang menunggu rakyat faham dan setuju dahulu, baru dilaksanakan.

Tambahan lagi Nik Abdul Aziz berkata, soal hukum Islam (hudud) bukannya pilihan untuk manusia menolak atau menerima, justeru menjadi tanggungjawab dan kewajipan kepada pihak berkuasa untuk melaksanakannya atas nama Islam.

Nasharudin yang juga Ahli Majlis Syura Ulama Pas berkata, rakyat perlu faham pelaksanaan hukum hudud secara langsung boleh mendidik mereka untuk memahami sebab serta hikmah hukum tersebut ada di dalam Islam.

''Ini adalah keistimewaan yang terdapat di dalam hukum hudud. Dalam tempoh pelaksanaannya hukum hudud juga boleh mendidik rakyat mengenai hikmah, pengajaran serta sebab-sebab Allah menurunkannya untuk umat manusia,'' ujarnya.

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai terdapatnya pemimpin-pemimpin Pas yang mempunyai pendirian bertentangan dengan Nik Abdul Aziz berhubung usaha melaksanakan hukum hudud beliau berkata, itu bezanya antara golongan 'tok guru' dengan 'bukan tok guru'.

''Saya hendak nyatakan inilah perbezaannya antara tok guru dengan bukan tok guru. Kewajipan melaksanakan hukum hudud sebenarnya merupakan satu perkara asas di dalam Islam,'' katanya lagi.

Sementara itu, beliau meminta kepada semua umat Islam di negara ini bersatu termasuk mengenepikan fahaman serta ideologi politik masing-masing bagi membantah penerbitan filem anti-Islam Innocence of Muslims.

''Bagi saya ini merupakan satu lagi agenda jahat bertujuan merosakkan imej Islam. Perkara ini tidak boleh dibiarkan dan kita perlu bersama-sama bersatu menyatakan bantahan dan kecaman keras kita terhadap penerbitan dan penyiaran filem anti-Islam ini,'' katanya lagi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment