My Add

Tuesday 18 September 2012

Timbalan PM Turki lawat Malaysia 2 hari mulai esok

KUALA LUMPUR, SELASA, 18 September, 2012: Timbalan Perdana Menteri bagi Ekonomi Dan Kewangan Republik Turki, Ali Babacan akan mengadakan lawatan kerja ke Malaysia selama dua hari mulai esok sempena "The Third Global Islamic Finance Forum (GIFF).

Menurut kenyataan Kementerian Luar hari ini, lawatan Babacan adalah atas jemputan Gabenor Bank Negara Malaysia bagi menghadiri serta menyampaikan ucaptama bertajuk "Islamic Finance in the New Frontier in the Age of Global Economic Change".

GIFF siri ketiga itu, yang bertema "Internationalisation of Islamic Finance: Bridging Economies", adalah platform bagi pakar industri kewangan, komuniti peniaga serta ahli akademik dari seluruh dunia untuk membincangkan prospek industri kewangan Islam dalam merapat dan meningkatkan kesalinghubungan di kalangan ekonomi.

Babacan juga akan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Hubungan dua hala antara Malaysia dan Turki adalah baik dengan pertukaran lawatan yang menggalakkan di peringkat tertinggi dari kedua-dua negara.

Dari segi hubungan perdagangan, Turki adalah rakan dagang Malaysia yang ke-36 dengan jumlah dagangan sebanyak RM3.63 bilion bagi tahun 2011. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment