My Add

Sunday 9 September 2012

Tindakan singkir ahli khianat wajar diikuti parti komponen BN

MUAR, AHAd, 09 September, 2012: Tindakan UMNO menyingkirkan mana-mana pemimpin atau ahli yang melakukan sabotaj dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang wajar diikuti oleh parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, kesemua parti komponen BN tidak harus memandang remeh perbuatan tersebut dan membiarkan sahaja pihak yang berkenaan merasakan mereka terlepas.

"Sepatutnya mereka ambil langkah yang serupa untuk memelihara kedudukan parti kerana setiap calon itu bertanding bukan atas tiket parti tetapi tiket BN.

"Kita tahu dalam BN ada 13 parti, sepatutnya di mana kawasan sekalipun didapati ada ahli parti yang dianggap mensabotaj parti dan jika ada bukti pelakuan buruk itu dilakukan, maka wajar parti itu ambil tindakan disiplin termasuk memecat mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Pagoh di sini, hari ini.

Turut hadir, isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mahukan tindakan menyingkir ahli yang melakukan sabotaj terhadap calon parti diperluaskan kepada parti kompenen lain dan bukan membabitkan UMNO saja.

Kenyataan itu susulan amaran keras Timbalan Perdana Menteri semalam yang menyebut UMNO akan menyingkirkan mana-mana ahli atau parti yang mensabotaj parti itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Katanya, kenyataan Hishammuddin itu adalah satu pandangan yang baik dan wajar dipertimbangkan oleh parti komponen BN.

"Tidak semestinya menang, mereka yang sabotaj itu terlepas. Ada kawasan sabotaj kita menang, tetapi hakikatnya ia tidak sepatutnya dilakukan atas prinsip ketaatan dan kesetiaan kepada parti," katanya.

Ditanya mengapa tindakan itu tidak dilakukan oleh BN sebaliknya diserahkan kepada parti masing-masing, beliau berkata, ia kerana setiap parti mempunyai perlembagaannya yang tersendiri dan ahlinya tertakluk di bawah perlembaagaan parti berkenaan.

"Itu sudah cukup kerana dalam perlembagaan (parti) ada ahli parti berkenaan, maka parti itu mempunyai bidang kuasa untuk bertindak jika ahli melanggar disiplin, kesannya serupa," katanya.

Dalam ucapan perasmiannya sebelum itu, Muhyiddin mengingatkan ahli UMNO, bahawa senario politik pada masa kini tidak lagi sama seperti dulu.

Katanya, orang Melayu kini juga berpecah dan tidak tentu hala tujuan gara-gara perbezaan ideologi yang disebarkan oleh pembangkang yang begitu ghairah hendak mengambil alih pemerintahan negara.

Sehubungan itu, katanya perubahan perlu dilakukan oleh ahli UMNO bagi menjamin parti itu terus releven dan kekal sebagai parti yang menyatukan dan membela nasib orang Melayu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment