My Add

Friday 28 September 2012

TPM Thailand, Yongyuth letak jawatan

BANGKOK, JUMAAT, 28 September, 2012: Timbalan Perdana Thailand, Yongyuth Wichaidit hari ini mengumumkan peletakan jawatannya dan juga jawatan Menteri Dalam Negeri berkuatkuasa Isnin ini.

"Tiada siapa memberi tekanan kepada saya untuk meletak jawatan. Saya membuat keputusan sendiri bagi mengelak masalah undang-undang," katanya. 

Kelayakan Yongyuth untuk berkhidmat dalam Kabinet dan sebagai Ahli Parlimen menimbulkan keraguan selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Kebangsaan mendapati beliau melakukan salah laku sebagai penjawat awam baru-baru ini.

Beliau didapati menyalahi undang-undang dengan meluluskan penjualan tanah biara yang dimiliki oleh Wat Thammikaram kepada Alpine Real Estate Co., dan Alpine Golf and Sports Club Co., semasa berkhidmat sebagai timbalan setiausaha tetap Kementerian Dalam Negeri pada 2002.

Di bawah undang-undang Thailand, tanah biara tidak boleh dijual atau dipindah hak milik.

Yongyuth bagaimanapun, berkata beliau akan mengekalkan jawatan sebagai pemimpin Parti Phue Thai dan Ahli Parlimen.

Sejak kebelakangan ini, beliau menghadapi tekanan berterusan dari luar dan dalam partinya untuk meletakkan jawatannya. 

Beberapa pemimpin parti khuatir bahawa Pheu Thai, yang menjadi parti gabungan utama dalam pemerintahan kerajaan sekarang, mungkin menghadapi pembubaran sekiranya Yongyuth, sebagai pemimpin parti itu, akhirnya didapati bersalah dan dipaksa berundur.

Yongyuth adalah antara lima timbalan perdana menteri dalam Kabinet Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment