My Add

Sunday 2 September 2012

Ulama Pas pertahan Nasharudin



Oleh ZULKIFLI JALIL dan AZHARI ZAINOODDIN 
KUALA LUMPUR, SABTU, 01 SEPTEMBER, 2012:
PARANOIA Pas kepada sekeping gambar bekas Timbalan Presidennya, Nasharudin Mat Isa (gambar) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Mekah baru-baru ini, agak sukar diterima oleh kalangan pemimpin kanan dan ulama parti itu.

Nampaknya menjadi ‘dosa politik’ yang besar pula bagi Pas apabila seorang pemimpin parti politik duduk bergambar dengan seorang pemimpin yang berbeza ideologi politiknya.

Mengapa tidak dilihat dari sudut hidayah Islam apabila Nasharudin sanggup berada dalam saf yang sama dengan Perdana Menteri semasa pertemuan muhibah bersama para ulama Arab Saudi tersebut?

Nasharudin secara jelas merujuk bahawa perbincangan yang dilakukan di Mekah adalah berkenaan isu-isu yang jauh lebih besar daripada isu Pas-UMNO. Antaranya, isu konflik pergolakan di Syria dan kekejaman junta Myanmar ke atas etnik Rohingya.

Tetapi mujurlah masih ada ulama dalam Pas yang berfikiran dengan pandangan matang menolak kecaman terhadap Nasharudin termasuk desakan supaya memecat dari parti, hanya kerana beliau menggesa Pas supaya mengkaji semula hubungan dengan pakatan pembangkang berikutan keceluparan Pengerusi DAP, Karpal Singh mempertikaikan perjuangan Pas mahu mewujudkan negara Islam di negara ini.

Nasharudin membawa imej politik sederhana berbanding fahaman politik yang membudaya semangat kebencian.

Berikut antara petikan sokongan terbuka yang diterima oleh Nasharudin daripada sebahagian pemimpin Pas di seluruh negara.

Beliau ialah bekas Timbalan Presiden, sudah tentu masih relevan walaupun beliau dilihat mengambil pendekatan menongkah arus dalam mempertahankan maruah Pas. Mungkin ramai yang tidak senang dengan tindakan beliau kebelakangan ini yang dilihat cukup lantang, tetapi untuk menidakkan sumbangan yang boleh dimainkan Nasharudin adalah tidak wajar. (27 Ogos 2012)

NOR AZMI MUSA
Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak

SAYA sudah cakap dari dulu lagi, Nasharudin masih relevan. Beliau bekas Timbalan Presiden dan meskipun tidak terpilih pada muktamar lalu, Nasharudin masih mampu menyumbang kepada perjuangan Pas."(27 Ogos 2012)

DATUK HARUN TAIB
Ketua Dewan Ulama Pas

SAYA sebenarnya yakin pada mesyuarat Ahli Majlis Syura Ulama Pas pada 9 September ini iaitu mereka tidak akan terikut-ikut dengan rentak pihak yang mahu mengetepikan Nasharudin.

“Dengan kata lain tiada keputusan drastik yang akan dibuat. Insya-Allah keputusan yang bakal diambil pada mesyuarat berkenaan lebih memberi manfaat kepada kedudukan Nasharudin dalam Pas."(28 Ogos 2012)

DATUK DR. MAHFODZ MOHAMED
Pesuruhjaya Pas Johor

Saya bukannya hendak kata yang saya sokong Ustaz Nasharudin atau tidak, tetapi adalah tidak adil untuk kita menghukum beliau hanya berdasarkan apa yang kita lihat melalui media. Beliau juga berhak untuk mempertahankan diri dan menjelaskan apa yang berlaku kepada Majlis Syura Ulama Pas."

"Hanya selepas memberi penjelasan dan mempertahankan tindakannya itu, barulah Majlis Syura Ulama boleh menilai sama ada beliau bersalah atau sebaliknya."(28 Ogos 2012)

MUHAMAD ZIN ABDUL RAHMAN
Ketua Dewan Ulama Pas Selangor

Dari segi rekod, Nasharudin memang sangat rapat dengan Allahyarham Datuk Fadzil Noor (Presiden Pas pada akhir 1990-an), malah beliau telah dibawa masuk dan dididik oleh arwah untuk menjadi pemimpin Pas. Harapan saya, dia sepatutnya boleh diberi ruang lagi kerana kelebihan yang dia ada.

"Masing-masing ada jasa dan setiap insan ada kelemahannya, begitu juga dengan Ustaz Nasharudin, setiap orang ada kelebihannya dan perjuangan Pas terbuka untuk sesiapa sahaja."(28 Ogos 2012)

MOHD. NOR HAMZAH
Ketua Dewan Pemuda Pas Terengganu

PAS tidak akan meminggirkan sesiapa, perkara ini terpulang kepada individu masing-masing yang sanggup berkhidmat."(28 Ogos 2012)

NIK ZAWAWI NIK SALLEH
Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas

Kenyataan Nasharudin yang menggesa parti supaya mengkaji semula hubungan dengan pakatan (pembangkang) sehingga mencetuskan polemik bukan satu kesalahan.

“Saya melihat ia satu kewajaran kerana akhir-akhir ini Karpal Singh kembali mengeluarkan kenyataan yang amat keras dalam menolak hudud.

“Bagi saya sebagai seorang pemimpin Islam, Nasharudin berjuang atas kapasiti yang ada pada beliau ketika membuat gesaan tersebut. Sebagai parti yang mengamal demokrasi kenapa ia harus dilihat sebagai kesalahan. Saya tidak nampak ia satu kesalahan.

“Nasharudin kekal relevan dengan Pas walaupun tewas pada pemilihan muktamar lalu kerana Ahli Parlimen Bachok itu masih ahli parti dan Ahli Majlis Syura Ulama serta banyak menyumbang kepada perjuangan Pas."(29 Ogos 2012)

DATUK DR. HARON DIN
Timbalan Mursyidul Am Pas

KITA berharap isu ini (melibatkan Nasharudin) akan diselesaikan pada mesyuarat Majlis Syura Ulama (pada 9 September ini) kerana ia telah lama berlarutan. Pas perlu lebih fokus kepada isu-isu yang lebih besar.

“Pas Negeri Sembilan juga akan menyuarakan pandangan pada mesyuarat itu."(30 Ogos 2012)

MOHAMAD TAUFEK ABDUL GHANI
Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan.
- UTUSAN

No comments:

Post a Comment