SHAH ALAM, JUMAAT, 28 September, 2012: Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang wanita Filipina kerana mengedar dadah seberat 1.04 kilogram di Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) Sepang dua tahun lalu.
Hakim Abdul Alim Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Marivelle Gonzales, 31, selepas didapati bersalah mengedar heroin seberat 927 gram di terminal lapangan terbang itu pada jam 4 pagi, 28 Mac 2010.
Bekas guru itu juga disabitkan kesalahan atas pertuduhan mengedar dadah jenis monoacetylmorphines seberat 117 gram pada tempat dan waktu yang sama.
Hakim Abdul Alim berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan melampaui munasabah terhadap kes pendakwaan dan mahkamah mendapati percakapan beramaran tertuduh yang dirakamkan polis dengan keterangan di mahkamah berbeza dalam bentuk penafian.
Semasa disoal balas di mahkamah, Gonzales bersetuju polis tidak mempunyai motif untuk memerangkapnya dalam kes itu dan percakapan beramaran itu dilakukan secara sukarela.
Dalam pembelaannya, Gonzales berkata, beliau ditawarkan oleh seorang lelaki dikenali sebagai Joe untuk membawa sebuah beg berwarna hitam, yang kemudian didapati mengandungi dadah itu.
Dia berkata, Joe menawarkannya ganjaran AS$1,000 (US$1=RM3.11), permit kerja untuk tinggal di Malaysia dan wang poket AS$250.
Tertuduh diwakili peguam Mejar (B) Ghazali Taib dan pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Kamalia Yahdi. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment