My Add

Friday 28 September 2012

Perbicaraan kes Ling Liong Sik ditangguh Isnin ini

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 28 September, 2012: Perbicaraan kes Tun Dr Ling Liong Sik, yang didakwa menipu kerajaan Malaysia, ditangguhkan ke Isnin ini selepas bekas Menteri Pengangkutan itu dimasukkan semula ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini atas masalah kesihatan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmadi Asnawi membenarkan penangguhan prosiding itu selepas peguam Wong Kian Kheong memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya dimasukkan semula ke HKL pagi ini selepas keluar dari hospital terbabit semalam. 

"Dr Ling dimasukkan ke HKL dua hari lepas (Rabu) dan keluar dari hospital itu semalam, namun pada pagi ini saya dimaklumkan oleh anak lelakinya bahawa Dr Ling terpaksa dimasukkan ke hospital semula kerana masalah kesihatan yang dialaminya," kata peguam itu pada prosiding hari ini.

Wong yang turut menyerahkan laporan perubatan Dr Ling sebelum ini yang disahkan oleh doktor pakar HKL Dr Rahal Yusoff kepada mahkamah, berkata laporan perubatan terbaharu akan diserahkan kepada mahkamah apabila diperolehi kelak.

Sementara itu, Wong ketika ditemui pemberita berkata, anak guamnya itu dimasukkan ke hospital kira-kira 8 pagi ini bagi menerima rawatan lanjut untuk penyakit jantung dan 'low blood sugar' (paras gula dalam darah rendah) yang dialaminya.

Dr Ling didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000 sedangkan beliau tahu JPPH, dalam menentukan nilai kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Beliau juga didakwa atas dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000. 

Dr Ling didakwa melakukan semua kesalahan itu di tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 25 September dan 6 November 2002.

Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dengan denda atau kedua-duanya, manakala bagi dua pertuduhan pilihan (pindaan), beliau didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment