My Add

Friday 19 October 2012

Nirmala, bekas majikan gagal selesai kes saman

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 19 Oktober, 2012: Kes saman pembantu rumah warga Indonesia, Nirmala Bonat terhadap bekas majikannya kerana mendera dan mencederakannya, gagal mencapai penyelesaian secara mediasi di Mahkamah Tinggi di sini.

Peguam M. Kavimani yang mewakili Nirmala memberitahu pemberita bahawa pihaknya dan bekas majikan Nirmala, Yim Pek Ha dan Hii Ik Ting (suami Yim) tidak bersetuju dengan terma penyelesaian yang dicadangkan dan saman tersebut akan diteruskan dengan perbicaraan.

Katanya, Hakim Zainal L Salleh yang mendengar prosiding mediasi itu di dalam kamar menetapkan 24 Oktober untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi.

Nirmala hadir bersama seorang wakil dari Kedutaan Indonesia dan Hii hadir bersama peguamnya Gurmeet Singh.

Nirmala, 28, memfailkan saman dan tuntutan itu pada 28 Januari 2010 dengan menamakan Yim dan Hii sebagai defendan.

Dalam tuntutannya itu, Nirmala berkata dia diambil bekerja sebagai pembantu rumah kepada pasangan itu, yang tinggal di Villa Putera, Jalan Tun Dr Ismail di sini, pada September 2003.

Nirmala berkata semasa bekerja di rumah majikannya itu, dia telah didera dan dicederakan beberapa kali oleh Yim, antaranya dengan menggunakan seterika panas yang dilekapkan pada badannya pada Januari 2004.

Wanita Indonesia itu mendakwa bahawa Hii pula telah gagal menghalang isterinya daripada mencederakannya serta gagal memberikan rawatan perubatan yang sewajarnya kepada beliau.

Nirmala menuntut ganti rugi am bagi kesakitan dan penderitaan yang dialaminya serta ganti rugi khas lebih RM40,000 bagi kehilangan pendapatan, perbelanjaan perubatan dan perbelanjaan lain yang akan ditaksirkan oleh mahkamah.

Pada 1 Okt lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhi hukuman penjara 12 tahun terhadap Yim, yang didapati bersalah atas tiga pertuduhan mencederakan Nirmala lapan tahun lepas. Yim kini berada di penjara.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita Nirmala memberitahu bahawa dia kini menetap di Kupang, Indonesia dan mempunyai seorang anak lelaki berusia dua tahun. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment