My Add

Wednesday 17 October 2012

2 lelaki Indonesia curi enjin, sampan nelayan ditahan

PELABUHAN KLANG, RABU, 17 Oktober, 2012: Polis Marin menahan dua lelaki warganegara Indonesia dipercayai suspek kes curi enjin dan sampan nelayan bernilai RM10,000 dalam dua serbuan berasingan di kawasan Pandamaran, Klang dekat sini semalam.

Pegawai Pemerintah Polis Marin Pelabuhan Klang, DSP Norzaid Muhammad Said berkata, serbuan pertama membabitkan seorang lelaki yang sedang berurus niaga untuk menjual sampan dan enjin disyaki dicuri, di kawasan tebing Sungai Aur, Pandamaran kira-kira pukul 9 malam.

Beliau berkata, lelaki berumur 36 tahun itu gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri dan dipercayai suspek kes curi dua unit enjin sangkut dan sampan seperti yang dilaporkan di Kuala Selangor pada kira-kira 10 pagi hari yang sama.

"Kita melancarkan 'Ops Pensura' sebaik menerima laporan itu dan pemeriksaan lanjut menemui dua enjin sangkut jenama Yamaha 30hp dan Suzuki 30hp yang disembunyikan di dalam sebuah sampan tidak bernombor yang diikat berhampiran tebing sungai berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Norzaid berkata, susulan tangkapan itu, satu lagi serbuan dibuat di sebuah rumah pangsa di Pandamaran Jaya pada hari yang sama dan menahan seorang lagi lelaki berumur 39 tahun yang dipercayai turut terbabit dalam kes curi berkenaan.— BERNAMA

No comments:

Post a Comment