My Add

Wednesday 3 October 2012

Anggota polis ditembak, suspek terakhir serah diri: Ku Chin Wah

KUALA LUMPUR, RABU, 03 Oktober, 2012: Kes dua anggota polis yang ditembak tiga penjenayah di Jalan Kuchai Lama, di sini Rabu lepas, dianggap selesai selepas suspek terakhir menyerah diri di Balai Polis Sri Petaling, malam semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, lelaki berumur 30 tahun itu merupakan adik kepada seorang lagi suspek yang ditembak mati polis di Taman Desa Water Park pada awal pagi Ahad.

"Suspek yang berasal dari Lanchang, Mentakab, Pahang itu menyerah diri jam 9 malam tadi dan kes boleh dianggap selesai," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, suspek direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Kelmarin, seorang daripada suspek menyerah diri di Balai Polis Kepong kira-kira jam 11 pagi.

Mengulas keadaan dua anggota peronda polis yang cedera ditembak, Ku berkata seorang telah dibenar pulang manakala seorang lagi masih dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Dalam kejadian jam 6.45 petang itu, Koperal R Subramaniam, 52, cedera di bahagian perut manakala Koperal Nor Azlan Abu Bakar, 41, cedera di leher akibat tembakan yang dipercayai dilepaskan oleh tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat berdekatan Kuchai Lama di sini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment