My Add

Thursday 18 October 2012

Balai Seni Lukis pasang CCTV versi malam untuk tingkat keselamatan

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 18 Oktober, 2012: Balai Seni Visual Negara (BSVN), yang diberi tanggungjawab untuk mengumpul dan menyimpan koleksi seni dan visual negara yang sehingga kini bernilai RM65 juta, mempertingkatan ciri-ciri keselamatan dalam penjagaan khazanah negara itu.

Ketua Pengarah BSVN, Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, antara langkah yang diambil termasuk mengantikan kamera litar tertutup (CCTV) kepada yang mempunyai ciri penglihatan malam dan berdimensi tinggi. 

Kini, BSVN mempunyai 11 CCTV, dengan setiap galeri mempunyai sekurang-kurangnya satu unit kamera penglihatan malam, manakala yang lain adalah CCTV yang beresolusi siang dan malam, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai Laporan Ketua Audit Negara 2011 yang menyentuh mengenai pengurusan koleksi himpunan tetap Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) yang sehingga Disember 2011, mengumpul sebanyak 3,925 koleksi yang bernilai RM65 juta hasil sumbangan dan hadiah dari pengumpul seni, badan korporat, kedutaan luar dan kumpulan pelukis.

Antara tanggungjawab lembaga itu ialah untuk menghimpun perolehan hasil karya yang bermutu tinggi untuk dijadikan khazanah Koleksi Tetap Negara yang disimpan di BSVN.

Antara kelemahan yang dibangkitkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2011 berdasarkan pengauditan yang dijalankan selama dua bulan mulai Oktober tahun lalu ialah keselamatan koleksi yang kurang diutamakan, termasuk sistem keselamatan pengawasan CCTV yang perlu dikaji semula, kebocoran bumbung BSVN dan masalah serangan kulat pada karya khazanah itu.

Mohd Yusof berkata, BSVN sudah mengambil langkah-langkah untuk mempertingkatkan keselamatan koleksi khazanah seni negara itu termasuk membaiki kebocoran bumbung pada tahun ini. 

Menyentuh mengenai masalah serangan kulat, BSVN juga memastikan setiap bahan yang dibawa masuk akan melalui proses jangkitan bakteria, dan juga turut memastikan penyenggaraan alat penyahlembap yang bertujuan mengawal serangan kulat sentiasa berada pada tahap yang sesuai untuk memastikan kualiti karya terjamin. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment