My Add

Thursday 4 October 2012

Seksyen 114A Akta Keterangan 1950 tak sekat kebebasan nyata pendapat

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 04 Oktober, 2012: Seksyen 114A Akta Keterangan 1950 tidak menyekat kebebasan memberi pendapat sebaliknya mendorong semua pihak agar lebih beretika serta bertanggungjawab dalam mengamalkan kebebasan bersuara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata seksyen itu tidak perlu dimansuhkan kerana ia sama sekali tidak bercanggah dengan prinsip undang-undang sejagat.
"Seksyen ini langsung tidak mencabul kebebasan serta hak asasi rakyat malah selari dengan prinsip undang-undang.

"Semua pihak juga akan lebih bertanggungjawab memelihara harta benda masing-masing," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) di Dewan Rakyat.

Mohamed Nazri menjelaskan bahawa Jemaah Menteri pada 15 Ogos lalu telah mengambil keputusan agar peruntukan seksyen itu dikekalkan malah pada 29 Ogos lalu juga Jemaah Menteri mengarahkan Peguam Negara mengadakan pertemuan dengan Majlis Peguam, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, wartawan dan penulis blog.

"Satu pertemuan berjaya diadakan pada 18 September lalu di Jabatan Peguam Negara bertujuan menjelaskan isu kekeliruan melibatkan 'presumption of guilt (anggapan bersalah) dan presumption of fact' (anggapan fakta) dalam seksyen itu," katanya.

Mohamed Nazri berkata semua kritikan terhadap seksyen itu berpunca daripada kurangnya kefahaman mengenai prinsip asas anggapan fakta dan bukan anggapan kebersalahan seperti yang didakwa sesetengah pihak. 

Beliau berkata anggapan fakta ini bukanlah bermaksud bahawa pihak pendakwa akan menggunakannya secara sewenang-wenangnya tetapi bersandarkan prinsip pembuktian kewujudan fakta-fakta tertentu sebelum anggapan fakta terpakai bagi seseorang yang dipertuduh di mahkamah.

"Apabila fakta itu telah dibuktikan wujud, mahkamah yang berperanan sebagai 'safeguard' perlu berpuas hati dengan kewujudan fakta sedemikian sebelum memindahkan beban pembuktian yang sebaliknya kepada seseorang yang dipertuduh itu," katanya.

Beliau berkata kaedah serta penggunaan anggapan fakta ini adalah tidak asing dalam peruntukan undang-undang di negara ini sambil memberi contoh beberapa undang-undang utama yang memperuntukan anggapan fakta.

Antara undang-undang utama adalah Seksyen 37(d) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) yang memperuntukkan mengenai anggapan pengedaran dadah berbahaya dan seksyen 50 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan mengenai anggapan rasuah, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment