My Add

Thursday 11 October 2012

Dakwan bajet 'lemah matematik': PR jawab Husni

SHAH ALAM, KHAMIS, 11 Oktober, 2012: DAP menyangkal kritikan bahawa Bajet Alternatif 2013 yang dibentangkan Pakatan Rakyat (PR) sebagai bajet “lemah matematik”, seperti yang diperkatakan oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Ahmad Husni Hanazlah.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua sebaliknya menegaskan kenyataan dikeluarkan oleh Husni adalah “dakwaan yang tidak mengikut fakta."

Pua muncul dalam Wacana Sinar Harian Bajet 2013 yang diadakan di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf malam tadi. Turut menjadi ahli panel ialah Ahli Parlimen Kota Belud dari UMNO-BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Ketua Eksekutif Ideas, Wan Saiful Wan Jan.

Menurut Husni, “mengikut perkiraan” bajet bayangan 2013 PR sebagai mengelirukan dan akan menambah defisit fiskal dan hutang Malaysia berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Beliau juga berkata, dakwaan oleh pembangkang bahawa bajet cadangannya akan mengurangkan defisit fiskal kepada 3.5 peratus merupakan satu contoh "lemah matematik" .

"Perbendaharaan meneliti kedua-dua bajet. Kami dapati bajet kerajaan menyeluruh dan jelas.

"Dengan demikian, kami berpendapat kerajaan tidak harus menunggu lebih lama lagi untuk tampil ke hadapan dan menjelaskan kepada rakyat Malaysia, yang manakah bajet yang serius dan bertanggungjawab.

"Bajet mereka (Pakatan) tidak lengkap. Mereka tidak memasukkan kebanyakan daripada perbelanjaan kendalian dalam bajet mereka. Itulah sebabnya Pakatan boleh mencatatkan perbelanjaan mengurus yang lebih rendah," kata Husni.

Menjawab kepada kritikan Husni itu, Pua kemudiannya secara sinis mengajak kerajaan untuk berbincang kerana Barisan Nasional takut berdebat.

“Saya rasa cara yang terbaik ialah kalau mereka tidak mahu debat, kita buat satu perbincangan. Kita akan tunjuk kepada mereka bahawa kita boleh mencapai apa yang kita perkatakan dalam bajet kita 3.5 peratus,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Husni antara lain berkata, bajet cadangan PR akan memaksa kerajaan menanggung perbelanjaan mengurus sebanyak RM224.3 bilion, jauh lebih tinggi daripada RM185.3 bilion yang didakwa oleh pembangkang.

Bahkan dakwanya, bajet bayangan itu tidak mencerminkan kedudukan sebenar prestasi kewangan kerajaan dan juga tidak mengambil kira rancangan-rancangan yang diumumkan oleh pembangkang dalam bajet khusus mereka itu.

Bajet 2013 Kerajaan Pusat dibentangkan pada 28 September manakala bajet alternatif PR dua hari sebelum itu.

No comments:

Post a Comment