My Add

Sunday 14 October 2012

Damai MILF bantu atasi PATI Sabah
*NAJIB Tun Razak ketika majlis pecah tanah bangunan Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri di Penampang, Sabah, semalam. Turut sama Rosmah Mansor, Musa Aman (dua, kiri), Bernard Dompok (tengah) dan Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum (kiri). - BERNAMA
PENAMPANG, SABTU, 13 Oktober, 2012: Perjanjian damai antara kerajaan Filipina dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang akan ditandatangani Isnin ini dilihat mampu mengurangkan kedatangan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari selatan negara itu di Sabah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, proses damai tersebut akan menjadikan wilayah itu kembali pulih dan berada dalam keadaan baik, sekali gus menyebabkan penduduknya tidak berfikir untuk ke negeri ini bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Beliau berkata, ketidakstabilan, kemunduran dan konflik 40 tahun di wilayah tersebut menyebabkan penduduk di situ mengambil keputusan berhijrah ke negeri ini yang berada dalam keadaan aman.

''Usaha dan peranan Malaysia sebagai perunding bukan sahaja berjaya menamatkan konflik selama 40 tahun antara kerajaan Filipina dan MILF, tetapi memberi manfaat besar kepada negara ini,'' katanya ketika berucap dalam majlis pecah tanah bangunan Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri (ILMAN) dan perasmian Jambatan Inobong di sini hari ini.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Ahli Parlimen Penampang yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok dan dua Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Yahya Hussin serta Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Pada majlis tersebut, Perdana Menteri merasmikan Jambatan Inobong sepanjang 84 meter yang bernilai RM9.05 juta dan melakukan pecah tanah sebagai simbolik pembinaan ILMAN di Kampung Pogun Kibabaig, dekat sini yang menelan belanja sebanyak RM33 juta.

Pembinaan ILMAN dijangka bermula bulan depan dan siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun lagi.

Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan pembinaan sekolah menengah di Moyog dekat sini bagi dimasukkan dalam senarai untuk dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran pada tahun depan, selain kelulusan membina sebuah dewan orang ramai dan pusat Permata Negara di Inobong.

Najib berkata, usaha kerajaan menangani masalah PATI di negeri ini dilakukan secara serius apabila tertubuhnya Jawatankuasa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Jelas beliau, penubuhan RCI bukan kerana tuntutan daripada pihak parti pembangkang, sebaliknya dilakukan kerana ketegasan kerajaan Barisan Nasional (BN) menangani masalah PATI di Sabah secara komprehensif.

Menurut beliau, perjuangan yang dilakukan oleh Dompok dan Parti Bersatu Sabah (PBS) merupakan usaha berterusan BN dalam merealisasikan hasrat rakyat di negeri ini yang mahu isu PATI diselesaikan dengan bijaksana. - MM

No comments:

Post a Comment