My Add

Monday 15 October 2012

DBKL rampas 21 unit PPR, rumah awam dihuni warga asing

KUALA LUMPUR,, ISNIN,15 Oktober, 2012: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merampas 21 unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam yang dihuni warga asing sejak Januari lepas.

Timbalan Ketua Pengarah dan Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Mohd. Amin Nordin Abdul Aziz berkata, DBKL juga sedang memantau 100 unit yang didiami warga asing kedua-dua perumahan itu.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pelancaran sesi Penilaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Kebersihan antara Kawasan Perumahan DBKL oleh Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Adnan Md Ikshan hari ini.

Turut hadir Setiausaha Bahagian Kesejahteraan Bandar Datuk Basar Abdul Rahman.

Sementara itu, Adnan berkata adalah menjadi kesalahan jika unit perumahan DBKL dan PPR disewa kepada warga asing.

“Warga asing juga tidak menitikberatkan kebersihan ekoran wujudnya masalah komunikasi dan budaya," katanya sambil menyarankan agar persatuan penduduk mengambil inisiatif menjaga kebersihan mengikut elemen Bersih, Indah dan Sejahtera.

Adnan juga berkata KPI itu, yang diperkenal tahun ini, melibatkan 69 daripada 80 persatuan penduduk.

Sesi penilaian dilakukan selama enam minggu mulai hari ini hingga 30 November depan, dan imbuhan RM20,000 akan diberi kepada persatuan penduduk yang mematuhi KPI ditetapkan.

"Sebanyak RM30,000 akan diberi kepada persatuan penduduk yang mengungguli pelaksanaan KPI Kebersihan peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari lepas," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment