My Add

Friday 12 October 2012

Demonstrasi pelajar SAR bermotif politik

MIRI, KHAMIS, 11 Oktober, 2012: Timbalan Perdana Menteri menganggap tindakan sekumpulan pelajar sekolah agama rakyat (SAR) mengadakan demonstrasi di pintu masuk bangunan Parlimen pagi ini bermotifkan politik semata-mata.

Tan Sri Muhyiddin Yassin juga tidak menolak kemungkinan mereka didorong oleh pihak tertentu seperti Pas kerana tidak pernah berlaku di dalam sejarah ada kes pelajar SAR yang berdemonstrasi.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran menegaskan, SAR perlu faham bahawa hanya SAR yang berdaftar dengan kementerian sebagai sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) berhak mendapat peruntukan.

"Apa pun pada tahun lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memperuntukkan RM95 juta kepada SAR di atas dasar ehsan dan timbang rasa kerana kita dapati banyak sekolah yang daif.

"Bantuan itu telah memberi faedah kepada hampir sebahagian besar SAR, sebab itu mereka patut bersyukur sudah ada bantuan itu, sedangkan ada sekolah-sekolah seperti di Limbang pun tidak elok, sekolah di sini pun tidak mencukupi," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Pemimpin Bersama Masyarakat di Kampung Tanjung Bungai, Bekenu, dekat sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan sekumpulan pelajar SAR yang berhimpun di pintu masuk bangunan Parlimen pagi ini yang dikatakan mahu menuntut peruntukan diberikan kepada sekolah berkenaan.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, dalam mengagihkan peruntukan, kerajaan mempunyai keutamaan tersendiri namun tidak bermakna sekolah agama diabaikan kerana SAR yang mendaftar sebagai SABK telah mendapat bantuan tetap.

Semasa berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Merit, Limbang, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.06 juta untuk sekolah berkenan dan RM2.5 juta untuk pembinaan bangunan gantian sementara SK Tanjung Limbang. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment