My Add

Wednesday 10 October 2012

Duta AS puji peranan Malaysia

Oleh MOHD. AINUDDIN ALIFF SALEHUDEN dan FATIN AINAA FAUDZI
PELABUHAN KLANG, SELASA, 09 Oktober, 2012: Amerika Syarikat (AS) memuji peranan Malaysia sebagai perunding hingga berjaya menamatkan konflik selama 40 tahun antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

Duta AS ke Malaysia, Paul W. Jones berkata, usaha negara ini yang bersungguh-sungguh mahu melihat perdamaian kedua-dua pihak wajar dipuji kerana tindakan itu memberi manfaat bukan sahaja kepada Filipina malah seluruh rantau ini.

Beliau berkata, pihaknya kagum dengan semangat kerajaan Malaysia yang tidak pernah berputus asa untuk menamatkan konflik yang sejak sekian lama membelenggu rakyat di Filipina.

''Kesungguhan Malaysia itu dapat dilihat selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyatakan kesediaannya untuk hadir bagi menyaksikan sendiri majlis menandatangani perjanjian damai antara kedua-dua pihak itu.

''Ini membuktikan kerajaan Malaysia benar-benar ikhlas mahu melihat setiap negara di rantau ini terus berada dalam keadaan aman dan damai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia pada Majlis Makan Malam di atas kapal USS George Washington, di sini malam tadi.

Hadir sama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin; Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Komander Kumpulan Lima Kapal Tentera Laut AS, John R. Haley dan Timbalan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Madya Datuk Mohammed Noordin Ali.

Majlis makan malam itu dianjurkan bersempena dengan persinggahan USS George Washington yang merupakan kapal pengangkut jet pejuang tentera AS ke negara ini.

Konflik antara kerajaan Filipina dan MILF berakhir selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk memeterai perjanjian damai awal sekali gus menamatkan konflik selama 40 tahun di wilayah selatan negara itu.

Perjanjian damai yang diumumkan Presiden Filipina, Benigno Aquino itu akan menyaksikan pembentukan satu wilayah autonomi dikenali sebagai Bangsamoro bagi menamatkan pergolakan di selatan negara itu. - UTUSAN
 

No comments:

Post a Comment