My Add

Wednesday 3 October 2012

GLC bantu wujud 359,187 pekerjaan, sumbang cukai RM40 bilion: Najib

 KUALA LUMPUR, RABU, 3 Oktober, 2012: Datuk Seri Najib Razak berkata syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berperanan penting dalam memangkin dan melengkapkan membangunkan ekonomi negara apabila membantu mewujudkan 359,187 pekerjaan dan menyumbang cukai RM40 bilion kepada negara.

Perdana Menteri berkata, sejak Program Transformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (Program GLCT) dilancarkan pada Mei 2004, GLC telah mencatatkan kemajuan ketara dalam pelbagai aspek utama berkaitan prestasi. 

"GLC juga melatih seramai 12,757 siswazah dan membelanjakan RM315 juta untuk latihan dan pembangunan modal insan," katanya ketika merasmikan bangunan Mercu UEM di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Pengerusi UEM Group Berhad Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad Tan Sri Azman Mokhtar dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Group Berhad Datuk Izzaddin Idris.

Selaras dengan dasar Program GLCT, Bajib berkata GLC turut memainkan peranan penting dalam melaksanakan dasar dan inisiatif kerajaan selain menjana keupayaan dan pengetahuan untuk sektor-sektor penting dalam negara.

Mengenai pencapaian UEM, Perdana Menteri memuji pencapaiannya yang berjaya mengembangkan operasi dalam perniagaan-perniagaan terasnya seperti pembinaan lebuh raya, pembangunan perbandaran dan hartanah, kejuruteraan dan pembinaan serta pengurusan aset dan fasiliti walau pun berhadapan dengan persekitaran ekonomi tempatan dan global yang semakin kompetitif.

"Menerusi UEM Group, negara kita telah memiliki lebuh raya bertaraf dunia dan kini telah mengorak langkah ke luar negara seperti India, Indonesia, Brunei dan Timur Tengah. 

"UEM Group juga pemaju induk Nusajaya yang juga kawasan pembangunan bandar bersepadu terbesar di Asia Tenggara dan turut memiliki rekod cemerlang di dalam reka bentuk dan pembinaan pembangunan infrastruktur mega yang ikonik," katanya.

Di samping kecemerlangan operasi, Najib turut menyarankan agar UEM Group meneruskan usaha membangunkan sumber manusia, modal insan dan alam sekitar yang dilaksanakan.

Sementara itu, bangunan Mercu UEM setinggi 29 tingkat yang dirasmikan hari ini merupakan ibu pejabat korporat UEM Group Berhad.

Ia siap dibina pada Disember 2008 dengan nilai semasa kira-kira RM262.7 juta. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment