My Add

Saturday 13 October 2012

Empat lagi Sekolah Dalam Hospital diwujudkan

PUTRAJAYA, JUMAAT, JUMAAT, 12 Oktober, 2012: Sebanyak empat buah lagi Sekolah Dalam Hospital (SDH) akan diwujudkan bagi menyediakan kemudahan pengajaran dan pembelajaran kepada pesakit kanak-kanak yang menjalani rawatan di institusi perubatan di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, empat SDH tersebut akan dibuka di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru; Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh; Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Beliau berkata, empat sekolah tersebut merupakan tambahan kepada tiga SDH perintis sedia ada yang terletak di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Ampang dan Hospital Serdang.

‘‘Sejak dilaksanakan pada Julai 2011, seramai 6,550 murid telah mendapat manfaat dalam projek perintis di tiga SDH itu," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berucap dalam majlis pemeteraian memorandum perjanjian antara PPUKM, HUSM dan Yayasan Nurul Yaqeen untuk pelaksanaan fasa kedua SDH di sini hari ini.

Perjanjian tersebut disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Nurul Yaqeen, Datuk Ismail Ibrahim; Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tan Sri Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan Timbalan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Ahmad Shukri Mustapa Kamal.

Yang turut hadir, isteri Timbalan Perdana Menteri yang juga Penaung Projek Hati Nurani, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Timbalan Menteri Pelajaran; Datuk Dr. Ir. Wee Ka Siong.

Muhyiddin berkata, statistik SDH dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini menunjukkan Hospital Serdang mencatatkan murid prasekolah tertinggi iaitu seramai 328 orang manakala HKL mempunyai murid sekolah rendah paling ramai sebanyak 1,730 orang.

‘‘SDH di Hospital Ampang pula mencatat pelajar sekolah menengah yang tertinggi iaitu seramai 855 orang.

‘‘Kejayaan di tiga SDH adalah bergantung pada usaha doktor, jururawat, pihak pentadbir hospital, guru dan juga ibu bapa pesakit," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, beliau telah meminta pegawai kementeriannya untuk meneliti hasil projek tersebut serta memantau keputusan pelajar SDH dalam peperiksaan umum yang dijalankan. - UTUSAN
 

No comments:

Post a Comment