My Add

Saturday 13 October 2012

Perlu lahirkan modal insan terlatih

Oleh AINUL ASNIERA AHSAN
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 12 Oktober, 2012: Malaysia perlu membangunkan modal insan yang pakar dan terlatih dalam industri hijau bagi memenuhi keperluan perniagaan dalam sektor tersebut.

Bagi menjayakannya, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta menawarkan lebih banyak kursus berkaitan dan relevan dengan pembangunan ekonomi serta industri hijau.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, tawaran pendidikan itu akan dapat membangun dan menyediakan tenaga kerja dan keupayaan modal insan yang fokus serta berpengetahuan dalam industri tersebut pada masa depan.

"Aktiviti industri hijau negara dijangka terus berkembang dan ditunjangi oleh dasar-dasar berkaitan teknologi hijau yang sedang dan akan diperkenalkan oleh kerajaan.

"Saya berharap IPT akan bekerjasama dengan industri merangka kurikulum padu, relevan dan menyeluruh yang dapat menyumbang kepada lebih banyak hasil penyelidikan dan pembangunan yang praktikal serta boleh diguna pakai dan dikomersialkan," katanya.

Beliau berucap pada majlis penyampaian Anugerah GreenTech 2012 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, malam ini.

Kata Muhyiddin, kerajaan telah menyediakan dana khas iaitu Dana Sains dan Dana Tekno di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bagi menyokong dan merancakkan pembangunan penyelidikan asas serta inisiatif prapengkomersialan sektor sains dan teknologi yang turut merangkumi bidang teknologi hijau.

Dalam ucapannya, Timbalan Perdana Menteri turut meminta pemaju hartanah menerapkan elemen hijau untuk dijadikan rekaan standard dalam sektor itu dan pembinaan negara.

"Begitu juga dengan para pengilang dan penggiat industri, perlu memberi pertimbangan untuk mengadaptasi dan mengaplikasi teknologi hijau dalam proses pengeluaran dan pembuatan," ujar beliau.

Muhyiddin berkata, syarikat-syarikat teknologi hijau tempatan juga perlu memanfaatkan sepenuhnya peluang menggunakan kepakaran dan kemudahan Agensi Inovasi Malaysia mengangkat produk-produk dan idea inovatif mereka ke pasaran dengan lebih berkesan. - UTUSAN
 

No comments:

Post a Comment