My Add

Tuesday 16 October 2012

ETP berada di landasan kukuh - Idris Jala

 *BENARD Dompok bersama Idris Jala menunjukkan produk yang diperbuat daripada hampas kelapa sawit ketika melawat tapak pameran Pameran Dagangan Minyak Sawit Antarabangsa 2012 di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, ISNIN, 15 Oktober, 2012: Pencapaian pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi (ETP) berada di landasan kukuh pada tahun ini apabila telah mencapai 69 peratus indeks petunjuk prestasi (KPI) dari Januari hingga Ogos lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Datuk Seri Idris Jala berkata, prestasi baik tersebut didorong oleh peningkatan pelaburan swasta dan awam setakat ini.

"Pelaburan merupakan petunjuk utama kepada prestasi ekonomi sesebuah negara dan setakat ini kita berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan terutama terhadap anggaran KPI yang telah ditetapkan.

"Bagi separuh pertama tahun ini, pelaburan swasta negara telah meningkat sebanyak 28 peratus manakala pelaburan sektor awam berkembang dengan 24 peratus,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan bertajuk 'ETP: Cara Masa Hadapan dan Peluang Dalam Sektor Minyak Sawit' di Seminar dan Pameran Dagangan Minyak Sawit Antarabangsa 2012 (POTS 2012) di sini hari ini.

POTS 2012 telah dirasmikan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok.

Tambah Idris, sekiranya pelaburan sesebuah negara meningkat lebih banyak projek akan dilaksanakan, pendapatan bertambah dan lebih banyak pekerjaan akan wujud.

"Bagi separuh pertama tahun penggunaan domestik meningkat sebanyak lapan peratus.

"Sebanyak 69 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) adalah dari penggunaan domestik, lebih 22 peratus adalah pelaburan dan komponen ketiga adalah dagangan," jelasnya.

Idris berkata, dengan keadaan ekonomi global yang tidak menentu pada masa ini, pertumbuhan dagangan negara adalah perlahan, bagaimanapun penggunaan domestik merupakan faktor penting dalam pertumbuhan ekonomi negara.

Prestasi keseluruhan pelaksanaan ETP untuk tahun 2012 akan diumumkan pada Mac tahun hadapan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment