My Add

Tuesday 16 October 2012

Eksport sawit menurun

 KUALA LUMPUR, ISNIN, 15 Oktober, 2012: Eksport minyak sawit Malaysia dijangka mencatatkan penurunan tahun ini daripada catatan rekod RM80.4 bilion pada 2011.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok berkata, meskipun dijangka berlaku penurunan, ia juga bergantung kepada bagaimana reaksi pasaran dalam tempoh baki dua bulan tahun ini.

"Unjuran tidak penting kepada saya pada masa ini. Ia lebih banyak bergantung kepada reaksi selepas ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pameran dan Seminar Perdagangan Minyak Sawit (POTS) 2012 di sini, hari ini.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, eksport minyak sawit Malaysia berjumlah RM54 bilion.

Difahamkan bahawa penurunan harga minyak sawit yang disebabkan terutamanya oleh semakan semula rejim cukai di Indonesia, akan menjadi faktor utama bagi eksport yang rendah, dari segi nilai pada tahun ini.

Indonesia, sebagai pengeluar minyak sawit terbesar dunia, sejak Oktober 2011, melebarkan dengan drastik jurang antara cukai eksport minyak sawit mentah (MSM) dan ditapis, bagi menggalakkan lebih banyak pelaburan hiliran dan pengeluaran produk minyak ditapis.

Justeru itu, MSM dan minyak isirung sawit mentah menjadi murah bagi pengeluar hiliran di sana.

Seperti Malaysia, produk ditapis yang dieksport keluar dari Indonesia juga bebas cukai.

Mengenai pengurangan kadar cukai MSM di Malaysia, Dompok berkata, struktur baharu itu hanya berkuat kuasa tahun depan, kerana kerajaan mahu memberikan tempoh pelarasan mencukupi bagi penapis Malaysia.

"Ia merupakan tempoh peralihan bagi industri dan penapis. Itulah sebabnya mengapa kami mahu mengambil sedikit masa dan melaksanakan struktur itu tahun depan," katanya . - BERNAMA

No comments:

Post a Comment