My Add

Wednesday 24 October 2012

FELDA lunaskan pinjaman peneroka, warga FELDA beli saham FGVH

TROLAK, RABU, 24 Oktober, 2012: FELDA melunaskan sepenuhnya pembiayaan bank yang dipinjam oleh 94,219 peneroka dan 1,890 warga kerjanya untuk membeli saham Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) pada 5 dan 8 Oktober lalu.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata, langkah FELDA mendahulukan bayaran balik pinjaman bank itu bertujuan untuk meringankan beban peneroka dan warga kerjanya dan mereka akan membayar semula kepada FELDA secara ansuran tanpa faedah. 

Beliau berkata, pembayaran pinjaman peneroka berkenaan membabitkan sebanyak RM358 juta dan pinjaman warga kerja FELDA membabitkan RM42.5 juta.

Katanya, dengan langkah sedemikian, peneroka dan warga kerja FELDA dapat melakukan urusniaga saham mereka tanpa sebarang masalah kerana bayaran balik pinjaman dilunaskan kepada pihak bank.

"...Kita (FELDA) dahulukan supaya mereka tidak kena 'foreselling' atau jualan paksa dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas majlis Graduasi 2012 di Maktab Rendah Sains Mara di sini, hari ini.

Beliau berkata, peralihan saham dilakukan secara automatik dan pembayaran balik kepada FELDA boleh dilakukan menerusi potongan pendapatan bagi tempoh lima tahun iaitu kira-kira RM50 sebulan.

Berhubung saham FGV di Bursa Malaysia yang dilihat mengalami penurunan, beliau berkata, perkara itu tidak menghilangkan keyakinan peneroka terhadap FELDA. 

"Penurunan seperti ini bersifat sementara apabila keadaan CPO (Minyak Sawit Mentah) baik, harga akan baik dan pastinya Felda Global punyai rancangan tertentu yang tidak boleh dinyatakan sekarang," katanya.

Beliau berkata, dalam perniagaan saham pastinya terdapat pihak tertentu yang membuat spekulasi bagi menimbulkan kekeliruan.

"Ada yang buat spekulasi dari segi perniagaan, yang lebih teruk buat spekulasi dari segi politik supaya makin ramai yang keliru dan makin berfaedah bagi mereka...tentunya yang menentang FELDA akan buat spekulasi yang buruk untuk kurangkan keyakinan kepada FELDA," tegasnya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment