My Add

Monday 8 October 2012

Filipina, MILF capai persetujuan damai awal
 *BENIGNO Aquino bercakap kepada media ketika mengumumkan perjanjian
 dicapai antara kerajaan Filipina dengan Barisan Pembebasan Islam Moro di
IstanaMalacanang, Manila, semalam. - AFP
MANILA, AHAD, 07 Oktober, 2012: Kerajaan Filipina dan kumpulan pemisah, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) mencapai perjanjian damai awal yang menyaksikan pembentukan satu wilayah autonomi bagi menamatkan pergolakan di selatan negara ini.

Presiden Filipina, Benigno Aquino mengumumkan persetujuan tersebut hari ini, sekali gus memberi gambaran konflik selama 40 tahun di wilayah berkenaan yang telah mengakibatkan lebih 120,000 kematian, akan berakhir.

Perjanjian yang lama ditunggu-tunggu itu menyaksikan satu pelan diatur bagi membentuk sebuah wilayah autonomi baru dikenali sebagai Bangsamoro yang didominasi umat Islam di selatan Filipina sebelum tempoh pentadbiran Aquino tamat pada 2016.

Bangsamoro merujuk kepada umat Islam dan masyarakat minoriti bukan Islam yang tinggal di selatan negara ini.

Ia dicapai dalam satu rundingan di Kuala Lumpur, Malaysia, minggu lalu.

"Perjanjian rangka waktu ini membuka laluan kepada perdamaian di Mindanao. Perkara ini turut membantu kepada pembubaran semua kumpulan pemisah di wilayah itu.

"Ini juga bermakna, tangan yang satu masa dahulu memegang senjata akan mula bercucuk tanam, menjual hasilnya dan membuka peluang kepada penduduk lain," kata Aquino dalam satu siaran langsung dari Istana Presiden yang turut dihadiri barisan Kabinetnya.

Aquino bagaimanapun berkata, nama Bangsamoro itu perlu diluluskan Kongres dan dipersetujui oleh satu pungutan suara.

Penasihat beliau, Ging Deles berkata, perunding kedua-dua pihak akan memeterai perjanjian berkenaan di Manila minggu depan selepas butirannya didedahkan kepada umum.

Naib Pengerusi MILF, Ghazali Jaafer pula berkata, pihaknya gembira dengan perjanjian tersebut yang dilihat mampu menawarkan penyelesaian kepada konflik berkenaan.

"Perjanjian ini adalah satu perkara baik, kami sudah menunggu berita baik ini sudah sekian lama,'' katanya.

Perjanjian baru itu juga menyaksikan penubuhan sebuah Suruhanjaya Peralihan dianggotai 15 orang, yang berperanan mendraf satu undang-undang pembentukan entiti baru (Bangsamoro) bagi menggantikan wilayah autonomi semasa.

Menerusi pembentukan Bangsamoro, kawasan penduduk Islam itu akan mendapat lebih kuasa ekonomi dan politik termasuk pelaksanaan cukai untuk mengurangkan subsidi kerajaan Pusat, menerima bahagian yang lebih besar daripada pendapatan sumber asli dan peranan yang lebih aktif dalam keselamatan dalam negeri. - REUTERS/DPA

No comments:

Post a Comment