My Add

Monday 15 October 2012

Henti politikkan isu kapal selam 


*AHMAD Zahid Hamidi bersama penerima anugerah Sijil dan Insignia Kepakaran Kapal Selam di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia Teluk Sepangar, Kota Kinabalu, Sabah, semalam.

KOTA KINABALU, AHAD, 14 Oktober, 2012: Kementerian Pertahanan berikrar tidak akan membenarkan mana-mana pihak berterusan mempolitikkan perolehan kapal selam negara dengan menabur fitnah sehingga bukan sahaja menjejaskan imej Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bahkan nama baik negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab pihak tertentu khususnya pembangkang dan pertubuhan tidak berdaftar, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) itu harus dihentikan segera kerana aspek pertahanan negara bukan bahan dagangan politik.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran kepada semua pihak tidak sesekali mempertikai keupayaan kapal selam negara dan merendahkan kemampuan anak kapal dengan menjadikan perkara tersebut isu pilihan raya demi kepentingan politik sempit.

"Tindakan mereka harus dihentikan dan kapal selam selaku aset terbaik pertahanan negara mesti dipertahankan walau apa-apa pun tuduhan dan fitnah dilemparkan. Kapal selam bukan sahaja aset, tetapi membawa imej negara dan TLDM di mata dunia.

"Dahulu tuduh kapal selam tidak boleh menyelam, tetapi selepas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dijemput menyelam, isu itu senyap. Kemudian Suaram pula timbul sedangkan Perancis sendiri mengesahkan tiada kes pendakwaan," katanya di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan Sijil dan Insignia Kepakaran Kapal Selam kepada lima pelatih TLDM iaitu Laskar Kelas 1, Wan Abdul Jalil Wan Mohamad, Laskar Kelas 1, Mohd. Farid Muhammad Samimin, Leftenan Komander Shahrul Azri Mohamad Sobri, Leftenan Komander Saidin Ibrahim dan Pegawai Waran 1, Rosli Abdul Rahman.

Turut hadir, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda, Datuk Rosland Omar dan Panglima Angkatan Kapal Selam, Laksamana Pertama Abdul Rahman Ayob.

Dalam perkembangan berasingan, Ahmad Zahid berkata, perjanjian damai antara kerajaan Filipina dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang bakal ditandatangani merupakan kejayaan besar kepada usaha Malaysia menamatkan konflik yang berlanjutan selama 40 tahun itu.

"Kejayaan ini adalah kredit kepada Datuk Seri Najib Tun Razak yang memulakan inisiatif semasa menjawat Menteri Pertahanan dulu dan tambah manis usaha Malaysia ini diiktiraf kerajaan Filipina apabila mereka menjemput Perdana Menteri menyaksikan detik bersejarah itu.

"Tamatnya konflik bersengketa ini bukan sahaja akan mengurangkan masalah pendatang tanpa izin (PATI) daripada menyeludup masuk ke Sabah, tetapi tugas berat yang terpaksa ditanggung TLDM sebelum ini juga dapat dikurangkan," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment