My Add

Monday 15 October 2012

Peranan pasukan pemantau di Mindanao dikaji - Zahid

MANILA, AHAD, 14 Oktober, 2012: Peranan Pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT) di wilayah Mindanao di selatan negara ini akan dikaji semula berikutan rangka kerja perjanjian damai antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang akan ditanda tangani esok.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberitahu, peranan IMT pada masa ini yang bertujuan memastikan gencatan senjata tentera kedua-dua pihak supaya dipatuhi, selepas ini mungkin diubah kepada pendekatan diplomatik.

Menurutnya, peranan baru IMT selepas ini juga bergantung kepada perbincangan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Filipina, Benigno Aquino III dalam pertemuan kedua-dua ketua kerajaan itu di sini esok.

"Peranan IMT yang sedia ada mungkin berbeza selepas ini berbanding peranan terdahulu... Kita juga fikirkan harus ada satu lagi tahap pemantauan dilakukan. Ia bukan lagi menggunakan pasukan tentera tapi badan diplomatik untuk tentukan butiran perjanjian dipatuhi sepenuhnya," katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Ahmad Zahid berada di sini untuk menyertai delegasi Perdana Menteri yang mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke negara ini bermula hari ini.

Selain menghadiri mesyuarat dua hala, Najib bersama-sama Presiden Aquino III akan turut menyaksikan upacara menandatangani rangka kerja perjanjian damai antara kerajaan Filipina dan MILF di Istana Malacanang esok.

Sejak lebih 10 tahun lalu, Malaysia menjadi pengantara adil perundingan antara kerajaan Filipina dan kumpulan pemisah MILF dan sebanyak 32 pertemuan telah diadakan sehinggalah perjanjian awal untuk perdamaian dicapai di Kuala Lumpur pada 2 hingga 7 Oktober lalu.

Perjanjian damai yang akan ditandatangani esok akan menyaksikan penubuhan sebuah Suruhanjaya Peralihan yang berperanan menggubal draf undang-undang pembentukan wilayah baru Bangsamoro menggantikan Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM).

Menerusi pembentukan Bangsamoro, kawasan penduduk Islam itu akan mendapat lebih kuasa ekonomi dan politik termasuk pelaksanaan cukai, menerima bahagian yang lebih besar daripada pendapatan sumber asli dan peranan lebih aktif dalam keselamatan dalam negeri - UTUSAN

No comments:

Post a Comment