My Add

Saturday 27 October 2012

Hormati kedudukan agama Islam dalam Perlembagaan

KUALA LUMPUR, JUMAAT. 26 Oktober, 2012: Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan perlu dihormati dan dikekalkan statusnya oleh semua pihak selari dengan usaha mendaulatkan agama tersebut.

Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina), Ibrahim Mohd. Hasan berkata, sebagai agama Persekutuan dalam Perlembagaan, tiada sebab perkara itu harus dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

"Kaum-kaum lain boleh mengamalkan agama masing-masing. Ini tidak menghalang mereka mengamalkan agama dalam bentuk peribadi.

"Pada masa sama, mereka tidak boleh menyebarkan agama mereka kepada umat Islam. Saya tidak bersetuju apabila ada pihak melabelkan negara ini sebagai sekular," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz sebelum ini berkata, Malaysia tidak pernah diputus atau diisytiharkan sebagai sebuah negara sekular, malah perkataan itu langsung tidak disebut pada mana-mana bahagian Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye menjelaskan, Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati dan diterima oleh semua lapisan masyarakat di negara ini.

"Hak semua kaum mengenai agama, bahasa, hak asasi dan lain-lain sudah terjamin di dalam Perlembagaan serta menjadi asas pembinaan negara," katanya.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Lee Kuok Tiung, perkara yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan dipersetujui oleh semua kaum perlu terus dihormati dalam usaha menjamin keamanan negara berkekalan.

"Tidakkah agak lucu mempertikaikan kebebasan hak beragama di Malaysia? Ini sama dengan kebebasan bersuara seperti mana termaktub di dalam Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan.

"Kita sedar semua agama menyeru ke arah kebaikan, cuma ada sesetengah pengikut yang mempunyai interpretasi berbeza terhadap isi kandungan ajaran agama yang sama.

"Kita perlu berwaspada mengenai perkara itu," katanya.

Setiausaha Agung Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), A. Karim Omar pula menyeru semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam menyambut baik kenyataan kedua-dua pemimpin negara tersebut.

''Kenyataan tersebut merupakan suatu yang amat strategik dan tepat pada masanya. Ini selari dengan perjuangan kita,'' katanya.

Dalam pada itu, Felo Utama Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr. Denison Jayasooria berpendapat, satu sistem seperti pusat timbang tara yang formal perlu diwujudkan bagi menangani isu-isu praktikal berkaitan isu agama yang timbul di negara ini.

''Kewujudan sistem tersebut penting kerana dilihat mampu menyelesaikan pertikaian yang sering dibangkitkan dalam masyarakat berbilang kaum. (Ketika ini) tidak ada sistem boleh menyelesaikan masalah agama Islam dan agama lain berkaitan dengan isu kematian, perkahwinan, harta dan keluarga,'' ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment