My Add

Sunday 21 October 2012

Inisiatif mampu turun harga rumah

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
 IPOH, SABTU, 20 Oktober, 2012: Inisiatif kerajaan melaksanakan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) selain pembinaan rumah mampu milik melalui Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) dan Jabatan Perumahan Negara dijangka mampu menurunkan harga rumah yang kini melambung tinggi.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (gambar) berkata, dengan adanya projek perumahan mampu milik berskala besar yang dijual jauh lebih murah daripada harga pasaran, ia mendorong kepada penurunan harga rumah untuk jangka panjang.

Sebagai contoh, katanya, rumah banglo yang dibina oleh SPNB hanya berharga antara RM120,000 dan RM150,000 sedangkan harga rumah teres di pasaran sahaja sudah melebihi RM200,000 seunit.

"Apabila projek perumahan yang dilaksanakan oleh SPNB, PR1MA dan Jabatan Perumahan Negara berkembang, sudah tentu harga rumah akan dapat diturunkan.

"Harga rumah teres di pasaran sudah lebih RM200,000 sedangkan SPNB buat rumah banglo pada harga maksimum RM150,000. Sudah tentu orang akan beli rumah banglo itu dan akhirnya apabila ia banyak, orang lain pun akan turunkan harga rumah," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kaunter Aduan Bergerak Bersepadu Daerah Kinta di Dewan Komuniti 1Malaysia Chemor di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Nadzri Ismail dan Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Tam Weng Wah.

Dalam Bajet 2013 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, kerajaan memberi tumpuan kepada aspek pemilikan rumah rakyat dengan memperuntukkan RM1.9 bilion untuk membina 123,000 rumah mampu milik di kawasan strategik.

Ahmad Husni berkata, kerajaan telah meminta SPNB memajukan projek perumahan mampu milik dalam skala besar seperti syarikat-syarikat pemaju perumahan swasta.

"Kita telah minta SPNB mengubah model dalam memajukan perumahan. SPNB akan buat seperti pemaju swasta secara besar-besaran di kawasan seluas antara 40 dan 80 hektar.

"Matlamatnya, kita dapat rumah banglo berkualiti tiga bilik tidur dan dua bilik pada harga maksimum RM150,000 seunit. Ia lebih mahal daripada Rumah Mesra Rakyat (RMR) kerana infrastruktur ditanggung oleh SPNB," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau enggan mengulas ketika ditanya mengenai permintaan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung supaya bank komersial melonggarkan syarat pinjaman perumahan.

Ahmad Husni berkata, biarlah isu tersebut diselesaikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) kerana ia terletak di bawah bidang kuasanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment