My Add

Monday 15 October 2012

Kementerian Hal Ehwal Islam boleh tangani pelbagai isu


KUALA LUMPUR, ISNIN, 15 Oktober, 2012: Cadangan menubuhkan sebuah Kementerian Hal Ehwal Islam dilihat mampu menangani isu berkaitan agama termasuk tuntutan hak asasi manusia yang keterlaluan seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata kementerian itu juga boleh mengurangkan kebimbangan umat Islam berhubung perkara bercanggah dengan ajaran Islam serta pegangan Ahli Sunnah seperti penerbitan buku yang mengelirukan.

"Saya amat bersetuju kementerian ini diwujudkan kerana tekanan atau serangan yang berlaku sejak kebelakangan ini, khususnya berkaitan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang bersangkut-paut dengan soal hukum," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Cadangan penubuhan kementerian itu disuarakan Datuk Taib Azamudden Md Taib (PAS-Baling) ketika sesi perbahasan, namun pernah dibangkitkan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) pada Ogos 2011.

Bagaimanapun, Jamil Khir berkata kerajaan berpendapat agensi dan jabatan berkaitan hal ehwal Islam masih sesuai diletak di bawah Jabatan Perdana Menteri supaya lebih berkesan dalam melaksanakan program serta aktivitinya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pada masa ini, kerja penyelarasan bagi menangani masalah melibatkan umat Islam dilaksanakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama negeri dan agensi berkaitan.

Taib Azamudden, yang bangun mencelah, berkata beliau yakin cadangan penubuhan Kementerian Hal Ehwal Islam itu akan diterima Majlis Raja-Raja.

"Kementerian yang khusus dapat membantu pengurusan yang cekap sehingga ke peringkat negeri. Kita tidak mahu pengurusan Islam seolah-olah ibarat melepas batuk di tangga.

"Saya bukan menafikan kemampuan sedia ada, tetapi penting pengurusan Islam dilaksanakan dengan lebih matang dan dapat diuruskan di bawah satu bumbung," katanya.

Persidangan Dewan bersambung esok. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment