My Add

Saturday 20 October 2012

Kerja selenggara pelampung tsunami dihentikan

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 19 Oktober, 2012: Penyelenggaraan pelampung tsunami di Pulau Sipadan kini dihentikan ekoran satu kemalangan maut membabitkan ketua pasukan pakar yang melaksanakan operasi penyelenggaraan itu.

Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kemalangan itu berlaku semalam ketika ketua pasukan, Stig Erik Lyng dan pasukannya sedang menyelenggara pelampung di atas kapal MV Pendamar.

Lyng, 53, yang merupakan pakar sistem pelampung dengan pengalaman lebih 30 tahun dikejarkan ke Hospital Semporna oleh Pasukan Gerak Am Polis Diraja Malaysia dan disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

Menurut JMM, pakar teknikal kini sedang mengenal pasti punca kemalangan dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta agensi di bawahnya bagi mempercepatkan proses siasatan.

Operasi penyelenggaraan pelampung itu merupakan sebahagian daripada program penyelenggaraan Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia (SAATNM) yang dilaksanakan MOSTI untuk memantau kejadian gempa bumi dan tsunami.

Lyng yang meninggalkan seorang balu dan dua orang anak merupakan jurutera paling berpengalaman dalam bidang berkenaan dan telah terlibat dalam projek SAATNM sejak pelaksanaannya pada tahun 2005. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment