My Add

Monday 15 October 2012

Ladang Rakyat tidak berjaya
 *TENGKU Razaleigh Hamzah merenjis air mawar ke atas ambulans sumbangan Yayasan Felda sambil disaksikan Mohd. Isa Samad (kanan) sempena pelancaran Program Janji Ditepati Felda di Bandar Chiku 3 di Gua Musang, semalam. - BERNAMA
Oleh AZRAN FITRI RAHIM 
GUA MUSANG, AHAD, 14 Oktober, 2012: Program Ladang Rakyat yang dilaksanakan oleh Kerajaan Pas Kelantan untuk membangunkan tanah di negeri ini tidak menunjukkan hasil yang memberangsangkan disebabkan tujuan mereka hanya untuk kepentingan politik.

Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, ia amat berbeza dengan Felda yang berjaya sehingga diiktiraf sebagai agensi pembangunan tanah yang paling berjaya di dunia disebabkan keikhlasan pemimpin serta kejujuran kakitangan dalam melaksanakan tugas.

Beliau berkata, kejayaan itu juga adalah disebabkan sokongan rakyat yang diberikan secara berterusan kepada kerajaan yang memerintah bagi menjayakan perancangan besar itu.

"Ada banyak pihak yang cuba meniru cara Felda untuk membangunkan tanah, tetapi tidak nampak satu pun yang boleh dibanggakan. Saya melihat kalau program tersebut dibuat secara ikhlas dan bukan politik ia akan berjaya, tetapi jika politik diletakkan di depan ia tidak akan berjaya.

"Ada orang buat Ladang Rakyat tetapi akhirnya buah sawit yang tak gugur tetapi tanah yang gugur, bukan mudah hendak ikut Felda kalau sekadar mahu berpolitik," katanya ketika berucap pada Majlis Janji Ditepati Felda di Klinik Kesihatan Chiku 3 di sini hari ini

Majlis tersebut dirasmikan oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Turut hadir, Pengarah Besar Felda, Faizoull Ahmad; Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr. Ahmad Razen Ahmad Maher; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Datuk Norzula Mat Diah dan ADUN Galas, Ab. Aziz

Sebelum ini, program Ladang Rakyat yang dibangunkan oleh kerajaan Pas Kelantan dikritik oleh banyak pihak kerana tidak melibatkan rakyat secara keseluruhannya serta tanah tersebut diberikan kepada syarikat-syarikat tertentu untuk dibangunkan.

Mohd. Isa berkata, sejarah Felda amat panjang dan ramai yang tidak menyangka ia akan menjadi seperti yang ada pada hari ini.

"Oleh sebab itu, faktor paling penting kejayaannya ialah mempunyai pemimpin yang baik dan kerajaan yang kukuh," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Felda memperuntukkan sebanyak RM20 juta untuk memperbaiki rumah di kawasan berhampiran tanah rancangan serta kampung-kampung tradisi di bawah program Kasih Felda.

"Di bawah program ini setiap rumah akan diberikan peruntukan sebanyak RM5,000 untuk dibaik pulih dan sehingga sekarang sebanyak 300 buah telah dibaiki.

"Program itu akan melibatkan kira-kira 4,000 buah rumah di seluruh negara dan ini merupakan inisiatif Perdana Menteri dan Felda untuk membantu rakyat," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment