My Add

Sunday 21 October 2012

Laksana hukuman mati pesalah dadah mungkin ditangguh

 KUALA KANGSAR, SABTU, 20 Oktober, 2012: - Pelaksanaan hukuman mati mandatori terhadap pesalah dadah kemungkinan akan ditangguh sehingga kerajaan mencapai keputusan muktamad berhubung cadangan memansuhkan hukuman mati terhadap pesalah terbabit.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata beliau akan berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai permohonan moratorium, iaitu penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap pesalah dadah yang telah dijatuhi hukuman mati.

"Hukuman ganti untuk kes pemilikan dadah itu sedang dikaji Pejabat Peguam Negara...untuk kes mereka (pesalah dadah) yang dijatuhi hukuman (mati), kita nak minta moratorium...kita sedang meneliti (semula) hukuman (mati) sedia ada," katanya kepada pemberita selepas majlis Pemimpin Bersama Rakyat Peti Undi Jenalik di Sauk di sini hari ini.

Beliau berkata permohonan moratorium itu perlu memandangkan ketika ini lebih separuh daripada 900 pesalah yang sedang menunggu hukuman mati adalah pesalah dadah.

Katanya ketika ini terdapat kira-kira 250 warga Malaysia ditahan di luar negara kerana kesalahan memiliki dadah dan kerajaan berusaha untuk menyelamatkan mereka daripada hukuman mati yang dikenakan oleh kebanyakan negara seperti China, Venezuela, Columbia dan Peru.

"Di negara yang mereka ditahan itu, majoriti negara berkenaan mengenakan hukuman gantung bagi pemilikan dadah. Jadi kalau kita nak selamatkan 'keldai dadah' warga Malaysia yang sebahagian besar tidak sedar mereka diperkudakan, saya nak tanya macam mana kita nak merayu kepada negara yang menahan warga Malaysia supaya jangan digantung sedangkan di sini kita gantung. Jadi tidak kenalah," katanya.

Ketika ditanya hukuman terbaik bagi menggantikan hukuman mati mandatori bagi pesalah dadah, Mohamed Nazri berkata hukuman penjara 30 atau 35 tahun boleh dikenakan terhadap mereka.

Beliau berkata jika hukuman mati mandatori bagi kesalahan dadah dimansuhkan, hakim mungkin diberikan kuasa untuk menggunakan budi bicara dalam menentukan tempoh hukuman yang akan dikenakan bagi pesalah dadah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment